mutakhir

Bukan pemegang Sijil Halal CICOT

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Sambal ikan nasi kerabu segera dari Thailand yang viral di laman sosial kerana didakwa dibuat daripada daging ular sawa bukan lagi pemegang sijil halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut kenyataan di laman Facebook Unit Hal Ehwal Korporat, Bahagian Hab Halal, JAKIM, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan produk yang dijual dalam peket itu bertiup kencang di alam maya.

Katanya, lebih memeranjatkan apabila di label produk berkenaan tertera logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM iaitu The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT).

“Untuk makluman, berdasarkan maklum balas yang diterima oleh kami daripada CICOT, produk berkenaan pernah mendapat pensijilan halal dari mereka sejak 2012.

“Bagaimanapun, kini produk berkenaan bukan lagi pemegang Sijil Halal CICOT dan isu ini masih di bawah tindakan mahkamah Thailand atas isu penggunaan logo halal yang tamat tempoh,” katanya.

Justeru katanya, pengguna dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada menggunakan produk itu sehingga siasatan kes selesai.

Menurutnya, sebarang kemusykilan mengenai viral dan status halal boleh disemak di laman web www.halal.gov.my atau aplikasi telefon pintar myjakim atau hubungi 03-88925000/1.

Disiarkan pada: September 26, 2016 @ 6:16am
d