mutakhir

Kilang perabot hangus jam 5 pagi

Oleh myMetro

Shah Alam: Seorang pemilik sebuah kilang perabot berputih mata apabila premis diusahakannya sejak beberapa tahun lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Ciku, Kelab Golf Monterez, Seksyen U9, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, keseluruhan kilang itu musnah dan gagal diselamatkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.22 pagi daripada orang awam.

Menurutnya, seramai 17 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Sungai Buloh dan Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, api marak terlalu cepat dan memusnahkan kilang yang menyimpan banyak perabot.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6 pagi. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2016 @ 6:18am
d