mutakhir

Srikandi di bumi Sydney [METROTV]

Oleh Daripada Yusmizal Dolah Aling di Sydney

Mereka bukan doktor pakar atau ahli profesional, tapi boleh dianggap sebagai srikandi Malaysia di bumi Sydney kerana budi yang mereka taburkan kepada keluarga Jaffar Saion sepanjang dimasukkan ke hospital.

Betapa tidak, biarpun tidak mempunyai pertalian darah dengan keluarga ini, mereka adalah orang yang sangat mengambil berat beban ditanggung Zulfadli Jaffar dan ibunya, Zainon Abdul Rahman sejak 30 Ogos lalu.

Simpati dengan apa yang berlaku, penuntut Universiti New South Wales, Sydney pantas mengaturkan bantuan kerana khuatir keluarga Jaffar tidak mampu membiayai kos perubatan yang diketahui tinggi di Australia.

Mereka mengumpulkan dana melalui laman Gofundme dengan memuat naik kejadian menimpa Jaffar sejak hari pertama di Hospital St Vincent sehingga mampu menjelaskan deposit bil perubatan berjumlah lebih RM34,000 (kira-kira AUD11,000)

Noormaalum Hassim, 28, penuntut bidang Pembangunan Hartanah Universiti New South Wales berkata, mereka mengetahui keadaan menimpa Jaffar menerusi kenalannya yang juga rakan kepada keluarga ini dan mengambil keputusan untuk mengumpulkan dana dengan kerjasama penuntut di Australia dan Malaysia.

Dia bersama beberapa lagi rakan penuntut dari Malaysia kemudian berkongsi maklumat menerusi media sosial termasuk kumpulan WhatsApp dan ia membuahkan hasil.

“Setiap hari, kami akan melawat pak cik dan ibu (Zainon Abdul Rahman, isteri Jaffar) untuk mengetahui perkembangan dan membantu apa yang patut kerana kami faham, mereka tiada sesiapa di sini,” katanya.

Penuntut perubatan, Nurul Iman Hameed, 23, berkata, dia menggunakan kesempatannya yang sedang menjalani latihan praktikal di situ dengan melawat Jaffar setiap hari.

Disiarkan pada: September 26, 2016 @ 6:30am
d