mutakhir

Kurang RM50,000

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Menyedari hakikat untuk membangunkan syiar Islam walau di mana pun berada, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) turut bersama mengambil inisiatif mencari dana untuk membeli bangunan yang boleh dijadikan masjid bagi masyarakat muslim minoriti di Chiba, Jepun.

Ahad lalu, Pengerusinya Zulkifli Wahijan terbang ke negara matahari terbit berkenaan untuk menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia menerusi NGO kemanusiaan itu.

Majlis penyerahan disempurnakan kepada Pengerusi Chiba Islamic Cultural Center (CICC) Azizan Mohamad yang bertanggungjawab untuk membeli bangunan itu.

“Jumlah yang diperlukan untuk pembiayaan membeli bangunan lima tingkat itu adalah RM2 juta dan pihak sudah masjid berjaya mengumpul RM1.5 juta.

“Individu dan NGO lain di Malaysia dapat meraih sumbangan RM300,000.

“Muslim Care pula serahkan tambahan RM155,000 didermakan orang ramai yang prihatin,” kata Zulkifli ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, baki untuk pembiayaan membeli bangunan bagi dijadikan Masjid Nishi-Chiba itu adalah sekitar RM40,000 hingga RM50,000 saja lagi.

Sehubungan itu, katanya, Muslim Care masih mengalu-alukan orang ramai menderma dan boleh menyumbang ke akaun Maybank 564490413882 (atas nama Muslim Care Malaysia).

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia, Zakaria Abdul Latif di talian 012-6935938.

Bangunan dijadikan kompleks masjid lima tingkat akan dibeli itu dirancang akan dibahagikan kepada pusat Islam dan kedai halal di tingkat lima dan empat, ruang solat di tingkat tiga, pejabat dan rumah imam di tingkat dua serta bilik aktiviti, pengajian dan dapur di tingkat satu.

Kegagalan melangsaikan pembayaran membeli bangunan bukan saja akan menyebabkan kehilangan wang pendahuluan, malah tempat beribadah bagi masyarakat Muslim di Chiba.

Disiarkan pada: September 27, 2016 @ 8:47am
d