mutakhir

Tujuh srikandi gagah bersilat

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Gagah dalam sopan santun antara objektif utama diterapkan Kelab Servant Of Allah (Svnt) Srikandi dalam menggalakkan ahlinya berkecimpung dalam aktiviti lasak tanpa mendedahkan aurat atau mencetuskan pandangan negatif masyarakat.

Kelab yang ditubuhkan awal tahun ini diinspirasikan tujuh beradik yang digelar Srikandi dengan masing-masing boleh menguasai pelbagai ilmu tempur bersenjata menerusi Silat Seni Tempur Betawi.

Menariknya, di sebalik ketangkasan dimiliki, tujuh beradik itu amat mengutamakan syariat Islam kerana tampil dengan pakaian sopan dan menutup aurat.

Lebih unik, dalam usia semuda 14 hingga 25 tahun itu masing-masing mempunyai kemahiran berbeza dalam mengawal senjata seperti kerambit, parang, tekpi, cindai, main pukul, tongkat, selain pelbagai teknik buah silat lain.

Siti Athirah Roslan, 25, mahir dalam teknik pelepasan diri, Ummu Umairah, 22, (main pukul), Ainul Taaibah, 21, (kerambit), Nurul Safirah, 19, (cindai atau selendang), Fatin Farehah, 18, (parang), Insyirah, 15, (tekpi) dan Hazirah, 14, handal bermain tongkat.

Presiden Kelab Svnt Srikandi Siti Athirah berkata, teknik kemahiran mereka dimanfaatkan untuk mengajar ahli kelab yang terdiri daripada wanita untuk terbabit aktiviti lasak seperti silat.

“Kami menganjurkan pelbagai aktiviti bersama ahli lain dengan matlamat supaya wanita Muslimah mengikis perasaan atau stigma bahawa mereka tidak boleh bersilat, menyertai sukan lasak atau sebagainya.

“Antara aktiviti dianjurkan seperti demonstrasi silat, program larian amal dan kempen wanita Muslimah dalam aktiviti lasak,” katanya.

Menurutnya, kelab berkenaan juga aktif menggunakan Facebook dalam mempromosikan aktiviti selain menarik lebih ramai wanita menyertai program Svnt Srikandi.

Selain itu, beliau berkata, apa yang dilakukan itu untuk mengikis amalan pesilat wanita lain yang kebanyakannya berpakaian seperti lelaki lengkap bertanjak dan kain samping.

“Asas penubuhan kelab ini untuk mengajak wanita sentiasa menjaga aurat mereka dalam melakukan aktiviti lasak dan bersedia dalam segala aspek ancaman luar.

“Setiap wanita boleh melakukan aktiviti lasak, namun jangan menjadikan alasan demi keselesaan menyebabkan perlu mendedahkan aurat iaitu berpakaian ketat atau mencolok mata,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kelabnya yang disertai 50 ahli turut mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan seperti membantu golongan susah dan program kemasyarakatan.

“Kami juga mengadakan kempen kesedaran wanita untuk menjaga aurat dan pergaulan supaya tidak terbabit kegiatan tidak bermoral.

“Malah, Svnt Srikandi juga terbabit membantu golongan tidak bernasib baik dengan mengutip derma atau menyertai aktiviti kemasyarakatan supaya setiap ahli merasai kesusahan dan keperitan insan lain.

“Setiap wanita Islam wajib menjaga aurat mereka daripada pandangan lelaki dan untuk itu kami giat melaksanakan kempen menutup aurat selain mengajak mereka mengimarahkan masjid atau surau yang semakin sepi sekarang,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2016 @ 9:14am
d