mutakhir

Pelakon AS sertai pelayaran WBG

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Mungkin pada zahirnya Zaytouna-Olive sepanjang 15 meter itu hanya sekadar kapal biasa yang bersaiz kecil, tetapi ia sebenarnya membawa semangat juang tinggi sekumpulan wanita untuk membebaskan Palestin.

Srikandi yang berada di atas kapal ini bukan calang-calang orang membabitkan pelbagai latar belakang, negara dan berbeza pegangan agama, namun mereka bersatu hati membawa mesej keamanan Palestin menerusi misi Women’s Boat to Gaza (WBG) itu biarpun dilanda pelbagai cabaran.

Ada antara mereka sanggup berhadapan risiko selepas tindakan berani mati menyertai misi antarabangsa yang dijadualkan tiba di Gaza, Palestin awal Oktober depan.

Pelakon dan pengarah filem Amerika Syarikat (AS) Lisa Gay Hamilton yang pernah dinobatkan sebagai aktres terbaik filem Nine Lives pada 2005 dan Redemption Trail (2014), meletakkan karier beliau berdepan risiko dengan menyertai misi itu.

“Memang saya bimbangkan diri saya dan wanita-wanita berani yang akan memecahkan sekatan ini, tetapi saya lebih bimbangkan apa yang akan terjadi jika kita semua masih lagi di rumah mendiamkan diri dan leka.

“Memecahkan sekatan bukanlah bermakna Gaza bebas, tetapi ini adalah satu permulaan,” katanya.

Beliau menyertai misi itu bukan untuk menghantar barang bantuan, tetapi untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin supaya mendapatkan kebebasan daripada cengkaman Israel.

Disiarkan pada: September 27, 2016 @ 9:26am
d