mutakhir

Kak Ton dedah murah rezeki kerana zakat

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan siri ceramah ‘Cantik Luar Cantik Dalam’ bersama pengasas kosmetik terkenal, Kak Ton bagi menggalakkan orang ramai, khususnya wanita mengeluarkan zakat.

Ceramah selama sebulan itu dibahagikan kepada empat bahagian dan siri kedua diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, semalam.

Penolong Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Nor Mukshar Harun berkata, selain Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan, ceramah itu turut menampilkan pendakwah bebas Ustazah Shadiya Abas dan Ustazah Hafizah Musa serta selebriti tempatan Salima Habibi.

Katanya, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada wanita supaya tidak melengahkan menunaikan tanggungjawab berzakat terutama membabitkan zakat simpanan, zakat pendapatan dan zakat emas.

“Selain ceramah mengenai zakat, penceramah jemputan juga menyediakan kupasan membabitkan aspek batasan, petua kecantikan dan panduan kesihatan untuk wanita seisi keluarga di setiap lokasi,” katanya.

Sementara itu, Zaiton berharap kerjasama dengan PPZ-MAIWP mampu menarik lebih ramai usahawan menunaikan zakat.

Kata Zaiton, selain mendekatkan diri kepada tuhan serta menjaga hubungan baik sesama manusia, amalan lain seperti sentiasa menunaikan solat sunat, berzikir, sedekah dan berzakat antara resipi kejayaan perniagaan beliau selama ini.

“Dalam setiap rezeki, kita sememangnya ada untuk bahagian orang lain dan kita digalakkan supaya sentiasa memberi lebih (bersedekah serta berzakat) jika mendapat rezeki melimpah-ruah,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2016 @ 9:38am
d