mutakhir

Batuk berpanjangan akibat syiling 10 sen

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Batuk berpanjangan dialami kanak-kanak berusia enam tahun dari Kampung Pulai Chondong, Machang akhirnya membawa kepada penemuan syiling 10 sen pada bahagian dada yang menghampiri perutnya.

Menerusi imbasan sinar-X, syiling itu dilihat seperti ‘tertanam’ di dalam badan itu dan dipercayai berada di situ selama lima hari.

Bagaimanapun, ia dikeluarkan selepas kanak-kanak itu membuang air besar, dua hari lalu.

Ibunya, Azlina Ismail, 30, berkata, minggu lalu (19 September) anak sulungnya itu, Nur Shahirah Natasya Mohd Shahril menemui syiling 10 sen ketika bermain dengan adiknya, Amar Rifqi, 2, di ruang tamu.

“Amar nampak dulu syiling itu, kemudian Nur Shahirah ambilnya dan beritahu mahu menyimpan dalam tabung.

“Tapi dia bermain-main dengan syiling itu dan meletak di mulut sebelum tiba-tiba tertelan.

“Saya tidak mengetahui kejadian itu sehinggalah dia asyik batuk-batuk. Saya bawa ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong untuk pemeriksaan, namun tiada apa yang pelik,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, tidak puas hati apabila batuk anaknya tidak hilang, dia ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk melakukan imbasan sinar-X dan terkejut melihat objek itu dalam perutnya dekat dengan dada.

Nur Shahirah Natasya diberi ubat dan doktor memaklumkan syiling itu keluar secara semula jadi menerusi pembuangan air besar.

Disiarkan pada: September 27, 2016 @ 9:50am
d