mutakhir

Kolej Vokasional pilihan tepat!

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Transformasi pendidikan vokasional yang dilaksanakan mulai 2012 memberi peluang kepada pelajar yang memiliki pencapaian akademik sederhana meneruskan pelajaran mereka dalam bidang kemahiran bagi membantu memudahkan laluan mereka dalam kebolehpasaran kerja.

Dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini juga akan mempercepatkan lagi usaha menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju pada 2020.

Justeru, pelajar perlu bijak ‘meletakkan’ diri mereka sama ada meneruskan pelajaran dalam bidang akademik semata-mata atau beralih kepada bidang kemahiran yang semakin diperlukan dalam sektor perindustrian negara hari ini.

Kolej Vokasional (KV) adalah pilihan terbaik untuk mereka mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang kemahiran dan ‘siapsiaga’ menempuh satu tempoh yang panjang untuk memiliki kemahiran yang diperlukan sebelum memasuki pasaran kerja.

Selepas empat tahun mengikuti pengajian, pelajar akan menerima diploma dalam bidang masing-masing dan juga dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Kumpulan pertama 2,273 pelajar Kolej Vokasional seluruh negara sudah pun menerima diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Pertama 2016 di Dewan Tuanku Canselor di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada 24 hingga 26 Ogos lalu.

Lebih 1,600 graduan sudahpun memperoleh pekerjaan dan 70 peratus daripadanya memasuki industri yang sesuai dengan bidang kemahiran yang dipelajari.

Dalam pada itu, tiga daripada 108 bekas pelajar KV Muadzam Shah, Rompin yang juga penerima Diploma Teknologi Pembinaan (DTP) ketika ditemui mengakui KV adalah pilihan tepat bagi mereka yang memiliki pencapaian akademik sederhana untuk menyambung pelajaran di bidang vokasional dan kemahiran.

Mohd Qayum Mohd Shaimi, 20, mengakui tidak ragu-ragu untuk meneruskan pelajaran di KV kerana yakin masa depannya bermula di situ.

“Ketika mula mendaftar di sini, saya sudah menanam impian untuk bergelar seorang kontraktor binaan seperti bapa, Mohd Shaimi Bidin, 50, dan sentiasa memberi tumpuan kepada setiap kerja bengkel dan akademik yang dipelajari.

“Saya tidak berhadapan masalah dengan kerja bengkel ketika di KV kerana kerap mengikut bapa ke tapak pembinaan sejak berusia tujuh tahun lagi,” katanya ketika ditemui di KV Muadzam Shah, Rompin.

Anak sulung daripada empat beradik itu sudah pun memiliki syarikat sendiri, Q Sam Trading yang beroperasi sejak awal tahun lalu yakin bahawa produk KV memiliki kemahiran dan kebolehan yang mampu memenuhi pasaran kerja dalam apa juga bidang yang diperlukan.

“Pelajar yang terpilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka kerana kebanyakan pelajar yang menjalani latihan industri akan terus ditawarkan bekerja selepas tamat latihan.

“Walaupun saya memperoleh 4A, 2B dan 2C dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Jaya, Muadzam Shah, saya tidak kesal memohon untuk belajar di sini kerana saya mahu mendapatkan kemahiran yang jarang dimiliki oleh pelajar sekolah aliran biasa,” katanya yang sedang menyiapkan projek rumah berkembar di Desa Teratai, Muadzam Shah bernilai RM140,000.

Nuur Ain Mohd Asri, 20, pula berkata, dia memperoleh maklumat mengenai transformasi pendidikan vokasional di Internet dan membuat permohonan untuk menyambung pelajaran di situ.

“Dengan pencapaian 2B dan 6C dalam PMR adalah lebih baik saya sambung belajar dalam bidang kemahiran yang memberi tumpuan kepada kerja-kerja bengkel sebanyak 70 peratus berbanding akademik 30 peratus.

“Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dapat membantu menjamin masa depan saya dengan lebih cemerlang,” katanya.

Bertugas sebagai penyelia tapak di syarikat Maju Jaya Prasarana Sdn Bhd, Muadzam Shah, Nuur Ain berkata tidak berhadapan masalah di tempat kerja kerana menjalani latihan industri di tempat yang sama.

“Selepas tamat latihan selama empat bulan, saya terus diserapkan sebagai kakitangan tetap dan mula menyelia kerja di tapak pembinaan seperti melihat pekerja memasang siling, mengikat bata dan pasang penutup bumbung dan semua itu saya lakukan ketika menjalani latihan industri.

“Saya semakin memahami bidang tugas dan dapat memantau pekerja dengan baik kerana kemahiran itu sudah diperoleh ketika belajar di KV,” katanya yang turut mendapat tawaran bekerja di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Bagi Mohd Farid Oslirizal, 20, KV adalah sebuah sebuah institusi pendidikan yang mampu menyediakan kemudahan dan latihan kemahiran terbaik untuk ‘mempersiapkan’ pelajarnya memasuki pasaran kerja berfokuskan kemahiran.

“Saya mendapat maklumat berkaitan pendidikan vokasional dan kemahiran menerusi program ‘outreach’ yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan di sekolah saya belajar ketika itu, SMK Perantau Damai, Keratong 10 dan penerangan yang terperinci membuatkan saya tertarik untuk membuat permohonan dan berjaya menyambung pelajaran di KV ini.

“Saya belajar mengenai pelbagai perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini termasuk kerja memasang penutup bumbung, memasang mozek, bancuh simen, membuat gazebo dan mengikat bata,” kata Penyelia Tapak di syarikat Atlas Enterprise, Kerayong, Bera.

Sementara itu, Ketua Unit Inovasi dan Komunikasi Korporat, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan, Yusaini Mohd Yusof, berkata transformasi pendidikan vokasional diperlukan bertujuan menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

“Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan industri sejak di bangku sekolah secara tidak langsung membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2016 @ 10:10am
d