mutakhir

Nak bang, mikrofon hilang

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kajang: “Tergamak penjenayah mencuri peralatan audio digunakan surau ini untuk melaungkan azan dan aktiviti keagamaan,” kata Setiausaha Surau As-Syikirin Bandar Mahkota Cheras di sini, Noor Liza Mohamed Shaari.

Menurutnya, kejadian disedari jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh di surau itu jam 5.30 pagi semalam.

“Pintu jeriji besi surau diumpil penjenayah manakala keadaan di dalam surau bersepah akibat digeledah penjenayah.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki memecah masuk surau ini pada jam 2.50 pagi,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu didapati memasuki kawasan surau dengan menaiki sebuah kereta model Perodua MyVi.

“Suspek dianggarkan berusia 30-an itu kemudian mengumpil jeriji besi dan pintu bilik menyimpan alatan audio sebelum mengambil peralatan di dalamnya.

“Antara peralatan yang hilang adalah tiga unit peralatan audio, mikrofon tanpa wayar dan pam air. Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM8,000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Noor berkata, susulan itu pihak jawatankuasa surau membuat laporan Balai Polis Sungai Long, di sini.

Katanya, ahli jawatan kuasa surau juga terpaksa memungut derma bagi menggantikan peralatan audio yang hilang itu.

“Ini bagi memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar menunaikan solat dan menghadiri kuliah agama di surau berkenaan.

“Surau ini turut digunakan untuk solat Jumaat dan mampu menampung sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa. Kami juga berusaha mendapatkan peralatan audio secepat mungkin bagi memudahkan jemaah surau menunaikan solat serta aktiviti keagamaan.

“Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun RHB Islamic Surau As-Syakirin 2140 1360 0030 92,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2016 @ 10:33am
d