mutakhir

Bergelut cari nafkah

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: Beberapa nelayan dari Kuala Muda, Penaga di sini, yang bergelut untuk mencari nafkah kerana tidak dapat ke laut sejak seminggu lalu berikutan bot rosak akibat dilanda ombak besar, baru-baru ini merayu kerajaan negeri membantu meringankan beban mereka.

Ketika ini, ada nelayan mengeluarkan wang sendiri antara RM1,000 hingga RM3,000 untuk membaiki bot yang rosak sedangkan pendapatan mereka tidak menentu.

Lima bulan lalu, mereka mengeluh kerana hasil tangkapan berkurangan dan kini mengalami kerugian lebih besar apabila bot, pukat dan enjin pula rosak akibat fenomena ombak besar pada 21 September lalu.

Ketua Unit Nelayan Mohammad Wan Chik berkata, beliau menerima laporan 15 bot mengalami kerosakan akibat dipukul ombak besar menyebabkan ada yang tidak dapat ke laut mencari rezeki.

“Kebanyakan nelayan terbabit tidak mampu menanggung kos membaiki bot dan berharap kerajaan negeri atau korporat turun padang membantu meringankan beban mereka,” katanya, semalam.

Mereka mendakwa terpaksa meletakkan bot di kawasan larangan kerana jeti disediakan sudah padat.

Seorang nelayan, Abdul Hamid Din, 59, berkata, dia terpaksa menghantar botnya yang rosak ke bengkel dan kos membaiki dianggarkan sekitar RM3,000.

“Sudah seminggu saya tidak ke laut kerana bot rosak, jadi di mana hendak cari modal membaiki bot selepas terkena bencana,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Seberang Perai Mahadi Md Rodzi berkata, nelayan terbabit tidak mematuhi peraturan.

“Biasanya nelayan yang mahu membuat tuntutan kerugian memerlukan sokongan dan pengesahan PNK tetapi sukar bagi persatuan menyokong kumpulan yang tidak mematuhi keputusan dipersetujui bersama,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2016 @ 9:02am
d