mutakhir

Selami 140 aduan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh semalam menyatakan komitmen beliau dalam membantu mencari kaedah penyelesaian tersendiri berhubung isu dihadapi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, banyak komen, aduan dan soalan diterima daripada peminjam tabung berkenaan sejak beliau memuat naik status memohon saranan serta cadangan di laman Facebook miliknya, Selasa lalu.

“Setakat ini (pagi semalam), saya sudah menerima 140 komen berbentuk aduan, soalan dan cadangan menerusi Facebook.

“Selain komen di Facebook, saya meneliti 30 e-mel dihantar peminjam serta pelajar secara peribadi sebelum ia hendak dibawa berbincang dengan pihak PTPTN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 2016 di Auditorium Help College of Arts and Technology di Jalan Metro Pudu, semalam.

Jelas Idris, beliau sedia meneliti setiap komen peminjam secara peribadi bagi menyelami masalah sebenar dihadapi kelompok berkenaan.

“Daripada apa saya lihat, tidak ada isu besar pun. Cuma kebanyakan mereka salah faham dengan maklumat diberi PTPTN.

“Begitupun, saya terus meneliti aduan disampaikan peminjam dengan versi saya sendiri.

“Jika ada masalah berat, kita bawa kepada PTPTN untuk diselesaikan,” katanya.

Ditanya mengenai versi dimaksudkan, Idris berkata ia lebih kepada menggunakan pendekatan media seperti Facebook, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Apa yang jelas sekarang, kalau mereka (peminjam) kata tidak boleh bayar, maksudnya mereka memang tak boleh bayar.

“Kemudian, bagaimana pula kita hendak membezakan peminjam yang hendak bayar, tetapi ada rumah besar, kereta besar dan komitmen besar lain.

“Sebab itu kita minta PTPTN supaya bertolak ansur...dalam masa sama, kita tetap nasihatkan peminjam supaya membayar hutang mereka,” katanya.

Tambah beliau, sudah sampai masanya perkhidmatan PTPTN dipertingkat seiring perkembangan semasa.

“Pasti ada kelemahan dalam PTPTN yang membuatkan peminjamnya datang secara terus kepada saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2016 @ 6:34am
d