mutakhir

Sketsa budak nakal

Oleh Mahaizura Abd Malik

Bangi: “Ketika orang lain membuang dan menghukum kami, tetapi cikgu beri kami peluang kerana percaya kami boleh berubah,” itu antara petikan kata-kata sekumpulan pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga di sini, ketika membuat persembahan pada Majlis Tautan Kasih Sekalung Budi sempena persaraan pengetua mereka, Rozita Ahmad, semalam.

Pelajar berkenaan yang pernah mencetuskan pergaduhan dan terbabit dengan masalah hingga menjadi viral dalam laman sosial media awal tahun ini mengimbas kembali kesilapan yang mereka lakukan dalam satu sketsa lakonan di pentas sekolah itu.

Bagi Rozita, persembahan itu nyata membuatkan hatinya tersentuh kerana tidak menyangka pelajar nakal dan sering membuat masalah itu menghargainya dengan cara seperti itu sempena hari terakhir beliau berkhidmat di sekolah itu.

“Bila mereka mengambil bahagian bersama warga sekolah meraikan saya hari ini (semalam), saya amat terharu dan inilah penutup paling bahagia dan kenangan paling manis sepanjang 33 tahun saya menjadi pendidik,” katanya.

Terdahulu, Rozita yang bersara pilihan bermula bulan ini diarak menggunakan kereta kuda sebelum duduk di singgahsana seperti sang puteri raja dengan acara pemakaian selendang dan memotong kek di samping menyaksikan persembahan pelajar.

Disiarkan pada: October 1, 2016 @ 7:27am
d