mutakhir

Latiff Mohidin termahal

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Ramai beranggapan hasil karya seni pelukis tempatan sukar dijual atau mendapat bidaan tinggi hingga menjangkau ratusan ribu ringgit, namun hakikatnya kerja tangan kreatif rakyat negara ini juga ada yang setaraf dengan pelukis antarabangsa.

Mengikut rekod bidaan KL Lifestyle Art Space, karya pelukis terkenal, Abdul Latiff Mohidin daripada siri Rimba berjudul Puntung The Stump yang dihasilkan pada 1996 mencatat rekod jualan tertinggi dengan harga RM879,216 menerusi lelongan syarikat berkenaan pada 24 April lalu.

Lukisan cat minyak yang dihasilkan di atas kanvas berukuran 137 sentimeter x 266 sentimeter itu dibeli seorang pengumpul lukisan persendirian untuk simpanan peribadinya.

Menurut Pengurus Besar Mediate Communications Sdn Bhd/KL Lifestyle Art Space Lydia Teoh, karya lukisan berbeza dengan barangan lain kerana ia mempunyai peminat dan nilai seni tersendiri serta tidak terikat masa dan harga.

Katanya, pembeli sanggup membayar harga mahal kerana mereka tahu nilai sejarah lukisan dihasilkan yang sangat eksklusif dan memiliki cita rasa diinginkan selain serasi dengan jiwa.

“Ada pembeli yang membeli lukisan sebagai koleksi peribadi dan nilai harga dimiliki mereka mungkin berbeza dengan orang lain kerana setiap orang mempunyai minat terhadap tema serta pelukis berbeza, jadi tidak boleh hendak disamakan sesiapa yang mempunyai lukisan tertentu dianggap kaya kerana ia sangat subjektif.

“Bagaimanapun, terdapat juga pembeli lukisan yang menjadikan karya seni ini sebagai pelaburan dan mereka akan menyimpannya beberapa tahun sebelum menjualnya semula dengan harga lebih tinggi,” katanya.

Lydia berkata, terdapat tiga kriteria utama menentukan harga sesebuah lukisan iaitu pelukis, sejarah dan pemilik koleksi.

“Pertama lukisan yang dihasilkan pelukis terkenal tanah air seperti Abdul Latiff Mohidin dan Datuk Ibrahim Hussein biasanya akan menjadi rebutan ramai kerana ketinggian kualiti dan nama mereka itu sendiri yang menunjukkan prestij.

“Kedua sejarah seni pelukis yang kaya dengan pengalaman seperti Abdul Latiff Mohidin yang pernah mengadakan pameran lukisan seawal usia 14 tahun sebelum ke Jerman dan kini masih lagi berkarya menunjukkan beliau seorang yang sangat aktif serta karya seni pelukis terkenal ini turut dicatatkan dalam katalog lukisan menunjukkan portfolio mereka diiktiraf ramai.

“Ketiga karya seni pelukis terkenal ini kebanyakannya dibeli oleh organisasi terkenal seperti Bank Negara, Maybank, Petronas dan Khazanah Nasional sebagai koleksi mereka yang sekali gus menunjukkan lukisan terbabit sememangnya bermutu tinggi serta mempunyai kelas tersendiri,” katanya.

Ditanya bagaimana cara untuk menentukan sama ada sesebuah lukisan itu asli atau tidak, Lydia berkata, pihaknya akan mengkaji latar belakang lukisan dengan menemui pelukis asal terlebih dulu atau ahli keluarga mereka jika pelukis berkenaan meninggal dunia selain berhubung dengan pihak berautoriti seperti Balai Seni Visual Negara (BSVN).

Katanya, pihaknya juga akan merujuk rekod terdahulu menerusi katalog atau organisasi tertentu yang pernah memiliki karya seni terbabit serta dokumen lain yang diperoleh daripada syarikat lelongan atau galeri lukisan.

Menurutnya, sejak beroperasi lima tahun lalu, KL Lifestyle Art Space mengendalikan 21 lelongan dan menjual lebih 1,700 lukisan membabitkan pelukis terkenal tanah air seperti Yusof Ghani, Awang Damit, Khalil Ibrahim, Ismail Latiff dan beberapa pelukis Singapura seperti Ong Kim Seng, Lim Tze Peng dan Cheong Soo Pieng.

Beliau berkata, KL Lifestyle Art Space mempunyai misi untuk membantu mempromosikan karya pelukis tempatan ke persada antarabangsa dan mereka adalah galeri lukisan yang paling aktif mengadakan lelongan lukisan sebanyak enam kali setahun berbanding galeri lain di negara ini.

Disiarkan pada: October 1, 2016 @ 7:54am
d