mutakhir

Jom riadah seketika!

Oleh Nabihah Kamal

Shah Alam: Kawasan yang luas, selesa dan banyak pilihan aktiviti serta dekat dengan pelbagai kemudahan menjadikan padang Setia City Mall (SCM) di sini lokasi terbaik untuk bersantai terutama pada hujung minggu.

Padang yang terletak bersebelahan pusat beli-belah SCM itu, tersedia pelbagai tarikan, antaranya trak makanan, belon buih, basikal elektrik, permainan kasut roda dan aktiviti memanah untuk kanak-kanak.

Pengunjung boleh sekadar duduk bersantai atau melakukan aktiviti berkenaan dengan harga berpatutan.

Menurut peniaga buih belon, Norfazian Shamsudin, 37, permainan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Bukan saja kanak-kanak, remaja juga suka bermain buih belon yang berharga RM5 hingga RM7. Ramai ibu bapa membawa anak mereka beriadah pada setiap hujung minggu dari petang hingga malam,”katanya.

Suri rumah, Aida Rahayu Afzan Ishak, 35, yang menetap di Shah Alam berkata, aktiviti di padang SCM tidak memerlukan kos tinggi dan pelbagai aktiviti yang merehatkan minda dapat dilakukan bersama seisi keluarga.

“Saya sering membawa anak saya ke sini untuk bermain basikal elektrik dengan bayaran RM25 untuk 30 minit. Aktiviti memanah pula hanya dikenakan bayaran RM5 untuk 10 anak panah,” katanya.

Menurut Aida, padang SCM bukan saja memberi manfaat kepada pengunjung, tetapi peniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

“Bukan saja pengunjung boleh beriadah, ia turut sebagai sumber pendapatan peniaga yang menjual air dan makanan,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2016 @ 8:08am
d