mutakhir

Saksi didakwa

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Seorang tukang jahit yang menjadi saksi pendakwaan ke-37 bagi perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan memberikan keterangan palsu kepada mahkamah.

Tertuduh, S Yogeswary, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur’Aminatul Mardhiah Md Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika menjadi saksi di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, jam 11 pagi, Selasa lalu.

Keterangan itu berhubung kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton miliknya yang didakwa digunakan lelaki dikenali sebagai Selvam pada 2 Ogos 2015 hingga 11 September 2015.

Ketika menjawab pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin mengenai di mana kenderaan itu sepanjang tempoh berkenaan, tertuduh mendakwa Mitsubishi Triton tiada padanya sepanjang tempoh itu.

Yogeswary memberitahu mahkamah jawapan yang berlainan ketika pemeriksaan balas peguam bela V Rajehgobal bahawa kenderaan itu dihantar oleh Selvam pada setiap malam sepanjang tempoh berkenaan.

Selain itu, tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa dia mengenali Selvam kira-kira tiga minggu, namun keterangan itu bercanggah dengan keterangan kepada polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah.

Sebaliknya tertuduh dalam keterangan kepada polis pula memberitahu dia mengenali Selvam selama lima bulan melalui adiknya, Kanna yang sudah meninggal dunia.

Dia dituduh mengikut Seksyen 193, Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu Mitsubishi Triton yang dikatakan digunakan untuk melanggar kereta Proton Perdana dipandu Kevin Morais adalah kepunyaan Yogeswari sebelum Saiful Edris memohon mencabar kebolehpercayaan wanita itu.

Keputusan mengenai kebolehpercayaan keterangan Yogeswary akan diputuskan pada 17 Oktober ini dan sambung perbicaraan pada hari sama.

Yogeswary menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh Kevin Morais yang mana tujuh lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, Nimalan, 23, dan S Ravi Chandaran, 45 dan R Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi tentera didakwa melakukan perbuatan itu.

Disiarkan pada: October 1, 2016 @ 8:30am
d