mutakhir

Air tercemar najis

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Wujud kemungkinan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Perak tercemar dengan najis sama ada menerusi saluran tandas atau pembuangan najis dalam tasik hingga menyebabkan sembilan kanak-kanak dan bayi dijangkiti Rotavirus.

Itu pendapat Ketua Sub Kluster Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kuala Lumpur Prof Dr Osman Ali yang mengulas berhubung kes sembilan kanak-kanak di Kedah dimasukkan ke hospital selepas melawat taman rekreasi itu pada 24 September lalu.

Beliau berpendapat, ada dua kemungkinan dalam kes berkenaan sama ada saluran tandas mengalami masalah kebocoran hingga menyebabkan aliran kumbahan memasuki tasik atau terdapat individu yang membuang najis ke dalam tasik itu.

Mengulas lanjut, rotavirus adalah sejenis virus berbentuk roda (perkataan Latin rota bermaksud roda) yang menyebabkan jangkitan cirit-birit yang serius dalam kalangan kanak kanak.

“Virus ini boleh mengakibatkan demam yang tinggi, cirit-birit dan juga kejang atau sakit perut yang berterusan.

“Selepas dijangkiti, jangkitan ini biasanya mengambil masa dua hari sebelum timbul gejala pada kanak-kanak terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Osman berkata, masalah utama virus itu ia boleh menyebabkan seseorang itu mendapat penyahidratan (kehilangan cecair atau bendalir badan) atau dehidrasi yang teruk sehingga menyebabkan kerosakan pada organ dalaman seperti buah pinggang.

“Jika penyahidratan ini tidak dirawat dengan segera, boleh membawa kepada maut disebabkan dari komplikasi kegagalan buah pinggang.

“Jangkitan rotavirus adalah punca cirit-birit yang utama menyebabkan kanak-kanak memerlukan rawatan hospital dalam bentuk rawatan transfusi (memasukkan) air melalui saluran darah (intravena),” katanya.

Menurutnya, cara penyebaran rotavirus adalah melalui ‘feco oral’ iaitu virus merebak melalui pendedahan daripada najis ke mulut kanak-kanak lain.

“Contohnya, jika seseorang menukar lampin bayi, terkena najis pada tangan dan tidak dibasuh serta memegang peralatan, permukaan atau makanan.

“Sekiranya kanak-kanak lain menyentuh peralatan atau permukaan itu dengan tangannya dan selepas itu tangannya di masukkan ke dalam mulut, virus berkenaan akan tersebar ke kanak-kanak itu,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2016 @ 8:48am
d