mutakhir

3 pendaki 'putus' makanan terselamat

Cameron Highlands: Tiga pelajar warga asing dari Kolej Universiti Antarabangsa Nilai (NIUC) yang mendaki Gunung Irau, di sini, kelmarin diselamatkan pasukan bomba selepas meminta bantuan akibat keletihan dan tidak berupaya untuk meneruskan pendakian susulan kehabisan bekalan makanan serta minuman.

Dalam kejadian 7.45 malam, ketiga-tiga pelajar lelaki terbabit berasal dari India dan Kemboja berusia 21 dan 23 tahun mendaki gunung terbabit bermula jam 8 pagi dan keletihan ketika turun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhammad Haziq Hazmi berkata, dia bersama dua anggotanya ke gunung berkenaan untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Kami menerima panggilan daripada tiga pendaki warga asing meminta bantuan akibat keletihan dan tidak berupaya meneruskan pendakian di Gunung Irau.

“Kami tiba di gunung itu pada jam 8.15 malam dan terus memulakan pendakian untuk mencari ketiga-tiga pendaki,” katanya.

Menurutnya, sebaik menemui pendaki terbabit pihaknya memberi makanan dan minuman untuk rawatan awal sebelum mengiringi mereka turun dengan selamat

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius terhadap pendaki iaitu dua pelajar India serta seorang Kemboja itu dan hanya mereka bertiga mendaki gunung berkenaan dan operasi menyelamat mangsa tamat jam 10 malam,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2016 @ 5:22am
d