mutakhir

'Nak pergi dulu'

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: “Pagi tadi (semalam) arwah kelihatan seronok dan bagaikan tidak sabar mahu menghadiri konvokesyennya, malah berulang kali memaklumkan ‘nak pergi dulu’ yang akhirnya menjadi petanda dia pergi selama-lamanya.”

Begitu kata Alias Hussain, 55, bapa Nurul Azmina, 21, yang maut akibat lemas selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit sedalam dua meter dalam kemalangan di Jalan Tebuk Sultan, Sungai Air Tawar, dekat sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa memandu seorang diri untuk menerima Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar pada sesi kedua majlis konvokesyen di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), dekat sini.

Alias berkata, ketika anak kedua daripada tiga beradik itu keluar, dia sedang mandi dan arwah memang tidak sabar mahu pergi ke PSIS.

Katanya, anaknya itu keluar dari rumah inap desa, di sini, jam 6 pagi untuk bersolek di rumah rakannya yang terletak berhampiran sebelum pulang untuk mengambil jubah konvokesyen jam 8 pagi.

“Selepas mengambil jubah, arwah tak sabar keluar semula seorang diri sebelum beberapa minit kemudian anggota polis memaklumkan kejadian menyedihkan itu.

“Dalam sekelip mata, arwah meninggalkan kami selama-lamanya hingga rasa sangat tersentuh kerana diploma itu dihadiahkan untuk kami.

“Sebelum majlis konvokesyen, arwah sangat bersemangat, malah membeli pakaian berharga RM600 untuk meraikan hari bersejarahnya. Keceriaan dan semangat arwah menghadiri konvokesyen masih terbayang-bayang, namun kami reda dengan ketentuan-Nya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini.

Ibu mangsa, Noraini Zakaria, 44, berkata apabila mendapat tahu kemalangan menimpa anaknya, dia seolah-olah tidak percaya dan hampir pengsan kerana terkejut.

“Ia berlaku mengejut dan sekelip mata...pada mulanya saya ingatkan kemalangan biasa, tetapi arwah meninggalkan kami selama-lamanya. Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Arwah mempunyai seorang abang, Muhammad Zarif, 24, dan adik lelaki, Muhamad Zulfahmi, 18.

Suasana pilu turut menyelubungi bilik mayat HTAJ apabila ahli keluarga, saudara mara dan rakan arwah hadir menziarahinya.

Jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di hospital itu sebelum dibawa pulang ke Flat Sri Melaka, Cheras jam 1 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, siasatan mendapati kenderaan dipandu mangsa dari arah Sungai Air Tawar ke PSIS di Sungai Lang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kenderaan mangsa melanggar papan tanda jalan sebelum merempuh tembok konkrit dan terjunam ke dalam parit. Mangsa yang memandu seorang diri dipercayai lemas dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian dikeluarkan orang ramai di lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2016 @ 8:35am
d