mutakhir

Putus dua

Oleh Norasikin Daineh

Tawau: Tindakan seorang tekong membawa enam pelancong warga China tanpa permit sah untuk bersiar-siar di Pulau Mabul membawa padah apabila bot berkenaan merempuh sebuah jambatan jeti di perairan Kampung Sum-Sum, Semporna, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, tiga pelancong dikenali sebagai Duan Qi, Liu Guo Qiang serta Zeng Chao Ping, masing-masing berusia 28 tahun tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut, manakala tiga lagi pelancong lain hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa berkenaan sudah sedarkan diri sejak pagi semalam, dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Manakala, tekong bot berusia 41 tahun yang hanya cedera ringan bersama pemilik bot berusia 40-an ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu turut menyebabkan jambatan jeti berkenaan terputus dua, manakala bot hanya rosak di bahagian bumbung dan hadapan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tawau Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.10 malam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota APMM Tawau bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun semua mangsa sudah diselamatkan orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

“Tiga mangsa termasuk seorang wanita masih menerima rawatan di hospital, manakala tiga lagi rakan mereka hanya luka dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tawau, di sini, semalam.

Romli berkata, siasatan mendapati pemandu bot terbabit tidak mempunyai permit membawa bot dan difahamkan pelancong berkenaan menaiki bot dari jeti awam dan bukannya jeti pelancongan.

“Mereka (pelancong) sepatutnya menaiki bot dari jeti khas untuk pelancong dan bukannya menggunakan jeti awam dengan menaiki bot penambang, malah pemandu bot terbabit juga tidak mempunyai permit serta tiada pengalaman mengemudi bot membawa pelancong.

“Siasatan juga mendapati tekong sudah memaklumkan bahawa mereka perlu pulang semula ke Semporna pada jam 5 petang (kelmarin), namun pelancong terbabit mendesak untuk melanjutkan tempoh sehingga jam 6 petang untuk bertolak pulang.

“Disebabkan tekong kurang mahir di laluan berkenaan dan keadaan cuaca semakin gelap menyebabkan dia gagal mengenal pasti laluan menuju ke Semporna sehingga bot tersasar 30 meter dari laluan sebelum merempuh jambatan jeti berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2016 @ 8:56am
d