mutakhir

Bacaan talkin undang rasa sebak [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Kuala Lumpur: Lebih 1,000 hadir pada majlis pengebumian Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani, 49, di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombak, di sini, pagi semalam.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba dari Guangzhou, China di kawasan kargo KLIA tepat jam 12.10 tengah malam menerusi penerbangan Cathay Pacific dari Guangzhou, China.

Seramai 28 orang terdiri daripada anak, adik-beradik, kenalan rapat, anak murid dan wakil Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) diberi peluang oleh pihak keselamatan kompleks kargo KLIA memasuki ruang legar pengurusan kargo bagi memindahkan sendiri jenazah ke dalam van jenazah.

Antara yang hadir bagi menguruskan jenazah termasuk anak sulung dan kedua Allahyarham iaitu Mohd Abdurrahman, 20, dan Mohd Haidar, 18, selain tiga adik Allahyarham iaitu Syed Mohd Fahitar, 42, Syed Mohd Firdaus, 39 dan Syed Mohd Fakharozi, 35.

Sebanyak tiga buah kenderaan termasuk van dan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dibenarkan memasuki ruang kompleks kargo kira-kira jam 12.45 tengah malam sebelum proses memindahkan jenazah ke dalam van jenazah selang 10 minit kemudian.

Sebaik urusan dokumentasi dan pengesahan kargo selesai, van jenazah dan tiga kenderaan pengiring dibenarkan keluar dari kompleks kargo jam 1.30 pagi diiringi seorang anggota polis bermotosikal dari Unit Trafik.

Jenazah selamat dikebumikan jam 11.10 pagi dan majlis bacaan talkin dipimpin oleh Mudir Madrasah di Narathiwat, Thailand, Baba Abdul Rahman.

Sepanjang talkin dibacakan, suasana cukup sayu apabila kelihatan ramai pelajar dan kenalan tidak dapat menahan kesedihan.

Adik perempuan arwah, Syarifah Fazaiti Syed Ahmad, 44, ketika ditemui berkata, tiga hari sebelum berlepas ke China pada 21 September lalu arwah bersama isteri keempatnya pergi ke rumahnya di Kuala Kangsar, Perak.

Syarifah Fazaiti berkata, arwah tiba jam 2 pagi ketika itu dan memaklumkan dia mahu pulang ke kampung untuk bertemu semua adik-beradiknya yang berada di Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah.

“Pada awal pagi ketika bersarapan, dia ada meminta saya menyediakan sambal ikan bilis dan saya tunaikan.

“Arwah juga memberitahu dia berasa penat selepas memandu sendiri. Sebelum ini arwah jarang memandu kerana mempunyai pemandu,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian di sini, semalam.

Katanya, pada pagi itu arwah meneruskan perjalanan ke Kedah dan sempat melawat ke pondok pertama pengajiannya selepas menamatkan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Isteri pertama arwah Mashitoh Abdul Hamid, 37, berkata, sebelum berangkat ke China arwah ada berpesan supaya menjaga anak-anak.

Mashitoh berkata, arwah turut berpesan sekiranya ingin meminta apa-apa boleh terus berjumpa anak sulung mereka.

“Segala amanat dan pesanan disampaikan arwah akan saya tunaikan.

“Ini termasuk meminta saya sentiasa memberi semangat kepada anak-anak untuk belajar dan melihat semua anak mereka menjaga serta mengembangkan pusat tahfiz yang diasaskan arwah,” katanya.

Sementara itu, sepanjang 22 tahun, arwah membuka lebih 10 cawangan Madrasah Al-Yamani yang beroperasi tanpa mengenakan bayaran di seluruh negara termasuk di Tak Bai, Thailand.

Disiarkan pada: October 3, 2016 @ 9:21am
d