mutakhir

Tanah 'telan' kedai

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Ampang: Sebuah kedai makan di cerun bukit Jalan Saga 29, Taman Saga di sini, runtuh akibat hakisan tanah berpunca daripada paip air bawah tanah yang pecah.

Kejadian jam 9 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana premis berkenaan tidak beroperasi ketika runtuhan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Saga Abdul Razak A Rahman berkata, sebelum itu, jam 2 pagi beliau dimaklumkan mengenai air lumpur yang tiba-tiba mengalir deras dari arah bukit tanpa mengetahui puncanya.

“Lama-kelamaan air lumpur semakin deras sehinggalah kami menemui puncanya yang datang dari cerun bukit setinggi tujuh meter yang menempatkan kedai makan terbabit.

“Penduduk membuat laporan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada jam 8.15 pagi,” katanya.

Menurutnya, hakisan tanah berlarutan sepanjang malam itu akhirnya menyebabkan lantai dapur premis berkenaan runtuh jam 9 pagi sebelum kontraktor dilantik SYABAS tiba pada jam 9.15 pagi.

“Mujurlah runtuhan itu tidak mencederakan sesiapa kerana penduduk mengambil langkah berjaga-jaga sebaik dimaklumkan perkara itu.

“Saya difahamkan, paip air utama sedalam dua meter di bawah lantai kedai makan itu pecah dan menghakis tanah sehingga menyebabkan runtuhan,” katanya.

Abdul Razak berkata, selain restoran terbabit, 15 lagi kedai makan beroperasi di sepanjang jalan cerun bukit berkenaan yang dalam proses pemindahan ke pusat perniagaan baru.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mencadangkan deretan premis di cerun bukit ini ditutup dan penduduk berharap dilaksanakan segera,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan komen pemilik restoran tidak berhasil kerana dia tiada di tempat kejadian sehingga kerja membaiki paip air pecah selesai jam 3 petang.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 6:25am
d