mutakhir

Mulia hatimu

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Mulia sungguh hati mereka sanggup menumpangkan saya enam beranak di rumah sewa mereka di Flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini, sejak bulan lalu.

“Hanya Allah yang mampu membalas budi baik mereka sekeluarga. Walaupun mereka hidup dalam serba kekurangan namun masih mampu menumpangkan saya di rumah mereka,” kata Faridah Yusof, 60, ketika ditemui di sini, semalam.

Faridah bersama anaknya, Nur Aqis Amiza Jusoh, 19, dan empat cucu iaitu pasangan kembar Puteri Nur Arianni Damisha Mohd Anuar Shah dan Nur Puteri Nur Arinna Damisha, 2, selain Putera Ar Rijal Shah, tiga bulan, dan Putera Ar Rayyan Darwisy, 3, terpaksa menumpang rumah seorang rakan di Flat Kondo Rakyat sejak bulan lalu kerana kesempitan hidup.

“Saya bergantung hidup dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan manakala anak pula tidak bekerja.

“Ditambah pula saya tidak mempunyai kediaman sendiri dan sebelum ini hanya menumpang di rumah mentua anak namun atas faktor keselesaan, saya nekad meninggalkan rumah berkenaan.

“Sejak bulan lalu, saya menumpang rumah seorang kawan di Flat Kondo Rakyat namun walaupun mereka bukannya orang senang, tetapi kemuliaan hati mereka menumpangkan saya amat menyentuh perasaan,” katanya.

Menurutnya, dia enam beranak ditambah dengan ahli keluarga rakannya seramai tujuh orang menjadikan semuanya 13 orang menghuni rumah berkenaan dalam keadaan bersesak.

Katanya, dia sekeluarga akan makan apa yang tuan rumah masak selain tidak mempunyai wang mencukupi untuk membantu keluarga rakannya itu.

Sementara itu, rakannya, Rohaime Jusoh, 30, berkata, dia kasihan melihat kehidupan Faridah sebelum membenarkan mereka tinggal bersamanya.

“Saya bukannya orang senang. Suami saya, Mohd Asri Zainal, 30, hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan tidak menentu antara RM500 hingga RM700 sebulan selain perlu menyara lima anak berusia 18 bulan hingga 11 tahun.

“Anak sulung kami, Mohd Keyrill Hakimi, 11, dikategorikan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan makan minum seharian bergantung kepada pandapatan suami,” katanya.

Menurutnya, apa yang keluarganya makan, itulah yang turut dijamah keluarga Faridah dan kebiasaannya mereka menikmati hidangan sekali sehari.

Katanya, biasanya mereka akan makan pada waktu malam dengan menu utama telur bersama budu kerana dia juga tidak mempunyai wang untuk menyediakan hidangan lebih enak.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 6:38am
d