mutakhir

'Acara terpenting hubungan dua hala'

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menerima keberangkatan lawatan rasmi Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan rasmi itu diadakan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

“Rundingan itu adalah acara terpenting dalam kalendar hubungan dua hala bagi kedua-dua negara.

“Ia adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,”katanya.

Menurutnya, Rundingan Pemimpin Tahunan ke-19 diadakan pada 11 Ogos 2015 di Bandar Seri Begawan, Brunei.

“Perdana Menteri mengalu-alukan lawatan baginda sebagai susulan kepada rundingan sebelum ini dalam usaha untuk terus memupuk dan mengukuhkan lagi kerjasama yang sudah terjalin sekian lama antara kedua-dua negara,”katanya.

Katanya, Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan turut meraikan baginda dalam satu Majlis Santapan Tengah Hari, hari ini.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 6:47am
d