mutakhir

Izin buru sang bedal

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Buaya di Sarawak kini boleh diburu bagi tujuan komersial selepas Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998 dijangka dipinda berikutan keputusan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan, semalam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana reptilia berkenaan tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti yang termaktub dalam ordinan itu.

Menurutnya, keputusan CITES itu hanya membabitkan pemburuan buaya di Sarawak kerana kajian mengenai kesan konflik antara buaya dengan manusia hanya dilaksanakan di negeri ini.

“Keputusan itu hanya akan dilaksanakan di Sarawak memandangkan kajian mengenai konflik haiwan itu dengan manusia ada dibuat di negeri ini namun tiada kajian dijalankan di Semenanjung dan Sabah.

“Kementerian akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan, antaranya Jabatan Hutan Sarawak dengan menetapkan tempoh enam bulan untuk memastikan peraturan baru yang membenarkan pemburuan buaya dilaksanakan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan yang dicapai di CITES itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azizan Ahmad yang hadir pada konvensyen berkenaan.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan sejak 1950 menunjukkan lebih 40 sungai di negeri ini mempunyai populasi buaya yang besar sehingga menimbulkan konflik dengan manusia.

“Kajian antara 1985 dan 2016 pula menunjukkan jumlah buaya meningkat lebih 100 peratus di Sungai Limbang dan Sungai Samarahan.

“Kami mahu mendapatkan sokongan CITES di bawah Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) supaya larangan buaya diperdagangkan di luar Malaysia ditukar dan ia boleh diperdagangkan di luar negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata, pada masa sama, pihaknya akan meletakkan syarat kepada pemegang lesen supaya tidak melakukan pemburuan sehingga menyebabkan kepupusan reptilia itu.

“Perbincangan akan dijalankan dengan kerajaan negeri di mana lesen pemburuan boleh diberikan kepada penduduk kampung di kawasan pedalaman yang kerap berlaku konflik antara buaya dengan manusia kerana ia dilihat dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 6:50am
d