mutakhir

Tragedi berulang

Oleh Togi Marzuki

Pontian: Tragedi yang meragut nyawa salah seorang ahli keluarga yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Rimba Terjun di sini, 11 tahun lalu, berulang lagi apabila seorang lagi menerima nasib sama, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Rohani Abd Rahman, 61, ditemui rentung dalam bilik tidurnya di rumah yang terletak di Lorong Sayang di kampung berkenaan.

Mangsa yang tidak pernah berkahwin dan mempunyai masalah kemurungan itu dipercayai terperangkap dalam kejadian ketika kakaknya, Aminah, 63, dan abang iparnya, Rahmat Senik, 64, tiada di rumah kerana berada di Johor Bahru.

Aminah ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia sedih kerana tragedi 11 tahun lalu berulang dan kali ini, ia meragut nyawa adiknya yang juga anak ketiga daripada 10 beradik itu.

Katanya, dalam kejadian pada 2005 lalu, Rohani menjadi saksi ketika abangnya, Zakaria, menemui ajal apabila rumah bapa mereka yang terletak 30 meter dari lokasi kejadian, kelmarin terbakar.

“Zakaria tidak sempat menyelamatkan diri menyebabkan dia rentung dan sejak itu berlaku perubahan ketara terhadap Rohani kerana dia mengalami kemurungan.

“Kali ini kami kehilangan seorang lagi ahli keluarga dan ia berlaku dengan menyayat hati seperti yang berlaku ke atas kami 11 tahun lalu,” katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pihaknya ke lokasi kejadian jam 9 malam selepas menerima maklumat penemuan mayat rentung oleh anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati rumah mangsa di lokasi terpencil itu dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan dan jauh dari kediaman penduduk lain.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat dan setakat ini, siasatan menjurus kepada kes kematian mengejut.

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Iqbal Raduan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 8 malam.

“Seramai 14 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Alsagof bersama dua jentera berjaya memadamkan api jam 10.03 malam.

“Mayat mangsa ditemui di atas katil dalam keadaan rentung. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 6:53am
d