mutakhir

Budak darah tinggi [METROTV]

Alor Gajah: Biarpun usianya baru mencecah lima tahun, seorang kanak-kanak perlu menjalani kehidupan dengan mengambil enam jenis ubat setiap hari akibat penyakit darah tinggi, asma, gangguan metabolik dan kesukaran bernafas akibat ‘Obstructive Sleep Apnea’ (OSA).

Muhammad Adam Aidil Azly, 5, yang juga anak bongsu dari tiga beradik dari Kampung Padang Lalang, Ayer Paabas, di sini, disahkan menghidap masalah kesihatan itu sejak Februari tahun lalu.

Ibunya, Norzailin Abu Karim, 35, berkata, dia mengesyaki ada yang tidak kena dengan Muhammad Adam, selepas anak bongsunya itu kerap mengadu sukar membuang air kecil dan kencing tidak lawas.

“Saya semakin risau dengan kesihatan Muhammad Adam, apabila seluarnya kerap dibasahi air kencing dipercayai kerana kencing tidak lawas, malah masalah itu pernah berlaku sehingga 10 kali sehari.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya membawa Muhammad Adam ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan anak bongsunya itu menghidap penyakit darah tinggi malah ketika itu dia dimaklumkan kolestrol Muhammad Adam di paras membimbangkan.

Walaupun usianya masih muda, bacaan darah tinggi Muhammad Adam pernah mencecah sehingga 147mmHg iaitu sama seperti bacaan darah tinggi orang dewasa.

Doktor juga memaklumkan berat badan Muhammad Adam, mencapai 34 kilogram (kg) menyebabkan bacaan Indeks Jisim Badan (BMI) kanak-kanak itu melebihi daripada yang sepatutnya hingga menyebabkan dia mengalami masalah asma.

“Anak saya mempunyai selera besar terutama jika saya hidangkan lauk kari, dia boleh menghabiskan dua pinggan nasi setiap kali makan. Selepas tahu Muhammad Adam mengalami masalah kesihatan, saya mengehadkan jumlah pengambilan nasi tetapi dia enggan.

“Namun, selepas setahun berulang-alik ke hospital, Muhammad Adam mengurangkan sendiri pengambilan nasi. Kini, saya hanya memberinya satu senduk nasi setiap kali menghidangkan makanan,” katanya.

Akibat masalah kesihatan dia membawa Muhammad Adam, menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan di Hospital Melaka setiap bulan, namun Jun lalu kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Serdang.

Dia memberitahu anak bongsunya perlu dirujuk kepada pakar di hospital itu berikutan berdengkur dengan kuat ketika tidur akibat ketumbuhan pada saluran pernafasan menyebabkan kanak-kanak itu tidak selesa untuk bernafas.

“Doktor memberikan ubat sembur untuk mengurangkan masalah itu sementara menunggu keputusan ujian dijangka diperoleh minggu depan. Anak saya seorang hiperaktif, namun atas sebab kesihatan dia perlu mengehadkan aktiviti fizikal supaya tidak terlalu penat.

“Setiap hari saya perlu berada bersama Muhammad Adam, untuk memantau tahap kesihatannya kerana sebelum ini dia pernah mengalami serangan jantung sebanyak dua kali iaitu Ramadan lalu dan bulan sebelumnya.

“Ketika kejadian dia yang sedang menonton televisyen tiba-tiba mengadu sakit dada dan sukar untuk bernafas, saya terus membawanya ke unit kecemasan Hospital Alor Gajah sebelum dimaklumkan ia serangan jantung,” katanya.

Masalah kesihatan itu menyebabkan Adam, mengalami gangguan emosi hingga cepat meradang termasuk ketika bermain permainan video di dalam telefon pintar.

“Biasanya Muhammad Adam akan beremosi jika permintaannya tidak dituruti termasuk ketika bermain permainan video. Dia cepat marah jika tumpuan terganggu dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatannya,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 7:35am
d