mutakhir

Mandi kerbau 10 hari

Semenyih: “Kami 10 beranak mandi kerbau selama 10 hari. Kami terpaksa hadkan penggunaan air kerana banyak lagi perkara mahu dilakukan yang membabitkan air,” kata K Arulkumar, 54, susulan kawasan kediamannya mengalami gangguan bekalan air.

Menurut Arulkumar, penduduk di taman perumahan di Bandar Sunway Semenyih sudah mengalami masalah bekalan air sejak sepuluh hari lalu dan terpaksa bergantung bekalan daripada lori tangki yang membuat kitaran di kawasan itu.

“Dua hari sebelum ada lori tangki kami langsung tidak mandi dan terpaksa membeli air mineral untuk minum.

“Bagi keperluan lain seperti membasuh, kami ambil air dari paip rumah rakan dan saudara berdekatan yang tidak mengalami gangguan.

“Selepas ada perkhidmatan lori tangki barulah sedikit lega, tetapi perlu hadkan juga penggunaan kerana isi rumah saya ramai. Kami mandi pun dua hingga empat jirusan saja,” katanya yang tinggal bersama bersama isteri, ibu dan bapa mentua serta enam anak.

Katanya, masalah itu juga menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli tempayan, baldi dan besen untuk dijadikan tempat simpanan air yang diambil dari lori tangki.

“Selain membeli perkakasan simpanan air dan bekalan air mineral, pakaian juga terpaksa dicuci di kedai dobi.

“Ada saudara yang mengajak tinggal bersama buat sementara waktu tetapi dalam keadaan bilangan kami yang ramai, biarlah kami bertahan sehingga masalah selesai,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Surirumah, Nur Azimah Sidek, 46, berkata, selain bergantung kepada bekalan air dari lori tangki, dia sekeluarga turut mengambil bekalan air di kaki bukit di lebuh raya berdekatan.

Katanya, ramai jiran yang mengajak mereka sekeluarga untuk mengambil bekalan air di sana kerana airnya dipercayai tidak tercemar dan selamat untuk diminum.

“Kebetulan rumah anak saya yang sudah berumah tangga berada di kawasan itu dan kami sering singgah untuk menumpang mandi.

“Tetapi sejak tiga hari ini lori tangki lebih kerap melalui kawasan perumahan siang dan malam. Jadi bekalan air kami sentiasa bersilih ganti,” katanya ketika ditemui di Bandar Sunway Semenyih, semalam.

Menurutnya, gangguan bekalan air kali ini adalah yang paling lama berbanding sebelum ini yang hanya ketiadaan air selama lima hari.

Disiarkan pada: October 4, 2016 @ 7:42am
d