mutakhir

Panggilan tidak dijawab anak

Alor Gajah: “Pada pagi hari kejadian, saya di Gombak dan jam 9 pagi, saya menghubungi Muhammad tapi panggilan saya tidak dijawab, lalu saya teruskan urusan saya sebelum pulang ke Melaka,” kata Abdullah Said, 56, bapa kepada Allahyarham Muhammad Abdullah, 22, mangsa lemas di Air Terjun Lubuk Jepun, Gombak, Selangor.

Menurut Abdullah, dia tidak tahu anak keempatnya daripada sembilan beradik itu sudah meninggal dunia sehingga rakan arwah menghubunginya menggunakan telefon bimbit anaknya pada jam 12 tengah hari kelmarin.

“Waktu itu saya sampai Seremban dan dua anak saya ada bersama, jadi saya hantar anak saya pulang dahulu sebelum bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama rakan.

“Dia (Muhammad) seorang anak yang baik dan bercita-cita menjadi pendakwah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Alor Gajah, di sini, semalam.

Abdullah berkata, biarpun sedih mengenangkan pemergian anak lelakinya itu, dia gembira kerana kenalan Muhammad yang hadir menziarah semuanya menyatakan senang dan gembira bersama arwah.

Katanya, selepas selesai urusan bedah siasat di HKL jam 8.30 malam kelmarin, jenazah Muhammad segera dibawa pulang ke Taman Kelemak Perdana, iaitu kediaman keluarga dan tiba jam 10 malam.

Jenazah Allahyarham kemudian selamat disemadikan jam 11.15 pagi.

Sementara itu, rakan baik Allahyarham sejak bersekolah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Sains Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Hazmi Yunos, 22, berkata, sejak tamat persekolahan, dia jarang bertemu Muhammad namun selepas tamat belajar, dia kerap berjumpa Muhammad sejak tiga minggu lalu.

“Dia sangat gembira dapat bertemu saya, kegembiraan yang berbeza. Dia menjemput ke tempatnya di Kota Damansara tapi saya tidak dapat meluangkan masa untuk bermalam di sana,” kata Hazmi.

Disiarkan pada: October 5, 2016 @ 6:13am
d