mutakhir

Terbujur kaku

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Klang: Niat seorang lelaki warga Myanmar untuk menziarah rakannya bertukar tragedi apabila ditemui mati selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dalam satu pergaduhan di tingkat 12 Kondominium Bandar Baru Klang, semalam.

Mayat mangsa berusia 30-an yang belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring di kaki lima tingkat bawah kondominium berkenaan pada jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menetap di kawasan lain melawat rakan senegaranya di rumah ‘penthouse’ di situ.

“Namun, kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam), berlaku pergaduhan antara mangsa dan beberapa lelaki dipercayai kenalannya di rumah itu.

“Berikutan panik dan cuba menyelamatkan diri daripada dipukul, mangsa terjatuh dari balkoni di tingkat 12 rumah terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dengan beberapa kesan cedera di kepala dan badan akibat dipukul dengan senjata.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya menahan 23 penghuni rumah itu yang dijadikan asrama pekerja oleh sebuah syarikat pembinaan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan iaitu 21 lelaki, masing-masing dari Myanmar, Indonesia, India dan Sarawak serta dua wanita Myanmar yang menetap di situ.

“Kita turut menemui kesan tompokan darah di lantai dan dinding rumah berkenaan,” katanya yang mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurutnya, polis sedang mengesan seorang lelaki Myanmar dikenali Cin Khan Thang, 34, dipercayai kenalan mangsa yang menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222/ 03-32902222 atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: October 5, 2016 @ 6:17am
d