mutakhir

60 hektar hutan simpan didakwa 'botak'

Manjung: Kira-kira 60 hektar kawasan di Hutan Simpan Segari Melintang, di sini, didakwa dimusnah dan dimansuhkan pihak tertentu dipercayai untuk tujuan pembangunan.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, lebih mengecewakan, ia turut membabitkan kawasan Hutan Simpan kekal iaitu sebahagian kompartmen 51 dan 52 Hutan Simpan Segari Melintang dalam masa tidak sampai sebulan.

“Keluasan asal hutan berkenaan dianggarkan lebih 4,000 hektar, tetapi keluasan terkini hanya tinggal 2,720.79 hektar tidak termasuk keluasan kawasan itu yang dimansuhkan.

“Dari semasa ke semasa, hutan dan kawasan semula jadi di Segari dimusnahkan terutama pemansuhan sebahagian Hutan Simpan Segari Melintang,” katanya.

Menurutnya, pemansuhan sebahagian Hutan Simpan itu bercanggah dengan Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 yang mengekalkan hutan simpan berkenaan sebagai guna tanah hutan dan hutan simpan kekal.

Katanya, selain itu, ia bercanggah dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (pindaan 1992) dan Strategik Korporat Utama Jabatan Perhutanan Negeri Perak iaitu mengekalkan keluasan HSK sedia ada dan meningkatkan keluasannya.

“Justeru, saya mewakili beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa negeri supaya menghentikan pemusnahan kawasan di Hutan Segari dan dalam masa terdekat, kami akan menghantar surat kepada kerajaan negeri bagi membantah tindakan berkenaan.

“Sekiranya sebahagian Hutan Simpan Segari yang dimusnahkan itu dimansuhkan, kami berharap pihak berkuasa negeri dapat mewartakan semula sebagai Hutan Simpan Kekal atau menggantikannya mengikut Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Hampir keseluruhan Hutan Simpan Segari Melintang jenis hutan bukit pantai dan sebahagian kecil kawasan berpaya itu diwartakan sejak 1956 mengikut rekod Jabatan Perhutanan,” katanya.

Turut hadir wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) cawangan Perak, Persatuan Aktivis Sahabat Alam Perak (KUASA) dan Persatuan Rekreasi Alam Sekitar Perak (PERASAP).

Sementara itu, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung menolak dakwaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan isu pemusnahan Hutan Simpan Segari Melintang, di sini, yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.

Pegawai Daerah Manjung Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, 40 hektar daripada Hutan Simpan Segari Melintang dikeluarkan daripada warta Hutan Simpan sejak tahun 2013 bagi tujuan projek perumahan untuk kemudahan rakyat.

Katanya, ia dipersetujui kerajaan negeri selepas mendapat pandangan Jabatan Perhutanan Negeri.

“Ia dikeluarkan daripada Hutan Simpan Segari Melintang untuk tujuan perumahan rakyat dan bukan untuk tujuan komersial serta hanya menggunakan sebahagian saja kawasan itu,” katanya.

Menurut Mohamad Fariz, sebanyak 12 hektar daripada jumlah itu digunakan bagi pembangunan Rancangan Perumahan Tempatan (RPT) Perwira untuk bekas perajurit dan anggota keselamatan.

“Untuk 28 hektar lagi ia diberikan kepada syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi projek perumahan mampu milik,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2016 @ 6:29am
d