mutakhir

Sejuta Cinta raih RM8,000

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Petaling Jaya: “Saya langsung tidak menyangka video muzik hasil tugasan kumpulan untuk subjek Kenegaraan meraih hadiah tempat pertama dalam Projek Video Malaysia (PROVIM) 2016.

“Pada asalnya, video berkenaan dihantar kerana kebetulan temanya bertepatan dengan kehendak penganjur,” kata pelajar tahun akhir Universiti Putra Malaysia (UPM), Farahis Nur Azreen Mohd Ramli, 23.

Menurut anak kelahiran Bangi itu, dia tertarik menyertai PROVIM 2016 selepas teringatkan hasil tugasan berkumpulan yang tersimpan begitu saja.

“Tajuk video muzik Sejuta Cinta dan lirik lagu menjurus kepada semangat perpaduan serta cintakan Malaysia.

“Durasi asal video hampir empat minit, namun saya sunting semula menjadikan ia tiga minit sebagai menepati syarat penyertaan,” katanya.

Jelas Farahis, dia teruja apabila diumumkan video berkenaan menang tempat pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.

“Sebelum ini kawan langsung tidak tahu saya menggunakan video tugasan kami menyertai PROVIM 2016.

“Alhamdulillah, akhirnya hadiah ini menjadi kejutan bermakna buat kami semua,” katanya.

Penyampaian hadiah PROVIM 2016 disempurnakan wakil penaja projek iaitu Pengerusi Eksekutif i-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong diiringi Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah.

Hadiah naib juara bernilai RM5,000 dimenangi tiga sahabat, Mohammad Salam Jumiran, Aiman Khalid dan Mohd Ibnu Zaid Ithnin menerusi video kreatif bertajuk Cintaku Malaysia.

Manakala tempat ketiga (RM3,000) dimenangi Winston Lim Choon Yee dan rakannya, Kelson Tan Khai Hsien yang mempertaruhkan video bertajuk Merdeka 59 Love and Unity.

Lima lagi penyertaan turut menerima hadiah sagu hati bernilai RM1,000.

Dalam pada itu, Mohd Ashraf berkata, PROVIM 2016 dianjurkan buat kali pertama oleh Unit Digital Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB untuk memupuk semangat perpaduan dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, khususnya belia.

“Projek ini dibuat bersempena sambutan Hari Kebangsaan lalu dan menerima 232 penyertaan dalam tempoh 17 hari, bermula 15 Ogos 2016.

“Melihat kepada sambutan diterima, kita memutuskan untuk menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Manja Ismail dan Pengurus Besarnya, Ahmad Kamaludin Zabaai.

Disiarkan pada: October 5, 2016 @ 6:47am
d