mutakhir

Sultan, TMJ jengah si cilik

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Impian Muhammad Hazreel Mikhail Hizar, 5, yang juga pesakit kulit genetik Epidermolysis Bullosa untuk menemui Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tertunai apabila menerima kunjungan putera raja itu di rumahnya, semalam.

Lebih mengejutkan Muhammad Hazreel dan keluarganya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli ke rumah mereka di Blok B, Rumah Pangsa Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, dekat sini, sambil diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar pada jam 10 pagi.

Menurut ibu Muhammad Hazreel, Noor Halimaton Hashim, 35, selain terkejut dengan kunjungan keluarga diraja itu, dia juga terharu apabila hasrat anak bongsu daripada tiga beradik terbabit tercapai.

“Sebagai ibu, saya bersyukur kepada Allah kerana hasrat Muhammad Hazreel akhirnya tertunai apabila dapat bertemu dengan idolanya, Tunku Ismail kerana dia adalah peminat setia pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.

Menurutnya, dia seperti bermimpi apabila mendapat panggilan telefon malam kelmarin menyatakan Sultan Johor akan melawat Muhammad Hazreel.

“Pada jam 10 pagi, Tuanku tiba bersama Tunku Ismail dan Tunku Idris Iskandar untuk melawat Muhammad Hazreel.

“Hanya Allah mengetahui kesyukuran kami namun pada masa sama berdebar untuk berdepan dengan keluarga diraja itu tetapi semuanya berjalan lancar,” katanya.

Noor Halimaton yang juga pekerja sebuah hotel berkata, Sultan Ibrahim menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat berkaitan Muhammad Hazreel dan bertanyakan keadaan kesihatannya dalam kunjungan setengah jam itu.

Menurutnya, baginda menasihati keluarganya membawa Muhammad Hazreel bertemu doktor pakar dan memberi semangat bahawa semua penyakit mempunyai penawarnya serta tidak berputus asa.

“Sepanjang kunjungan itu, Muhammad Hazreel amat ceria dan sudah tentu hari ini menjadi kenangan berharga bagi dia dan kami sekeluarga.

“Malah, dia dimaklumkan untuk dipertemukan dengan pemain JDT ketika sesi latihan pasukan berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kami menghargai keprihatinan keluarga diraja Johor terhadap Muhammad Hazreel selain berterima kasih kepada Harian Metro kerana memaparkan hasratnya yang tertunai hari ini (semalam),” katanya.

Selain cenderahati Johor Southern Tigers, Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail turut mengurniakan sumbangan untuk keluarga Muhammad Hazreel bagi menampung perbelanjaan perubatan kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: October 5, 2016 @ 6:50am
d