mutakhir

Angkat wanita berkerusi roda dari tingkat tujuh

Kuala Lumpur: Gara-gara lif rosak menyebabkan sepasukan anggota bomba bertungkus-lumus membawa turun seorang wanita sakit dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri menggunakan kerusi roda.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, wanita berusia lingkungan 50-an itu tidak boleh berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda akibat masalah kesihatan.

Mangsa yang menetap di Pangsapuri Ampang Mewah di sini, dikatakan perlu menjalani rawatan serta mencuci darah di klinik namun berdepan masalah kerosakan lif di kediaman itu.

Akibatnya suami mangsa menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan membawa turun isterinya ke tingkat bawah pangsapuri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Ariff Mohamed Kassim berkata, sepasukan anggota bomba kebetulan berada sekitar kediaman itu dan sedang menjalani pemeriksaan cegah kebakaran.

“Sebaik dipanggil suami wanita itu, anggota bomba segera berusaha membawa turun wanita itu melalui tangga pangsapuri. Kami mengangkat wanita itu yang duduk di atas kerusi roda,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2016 @ 6:08am
d