mutakhir

Jerat mangsa waktu Subuh

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Ramai ulat teksi dikesan berkeliaran mencari mangsa di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada waktu Subuh kerana beranggapan pihak berkuasa tidak menjalankan operasi ketika itu.

Bagaimanapun taktik itu terbongkar apabila dua ulat teksi diberkas dalam Ops Parasit dilakukan sepasukan Penguat Kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi yang bermula jam 5 pagi kelmarin.

Akibatnya kedua-dua teksi milik pemandu itu disita serta-merta oleh pihak SPAD.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, Ops Parasit yang dijalankan itu disertai seorang pegawai dan 12 anggota berpakaian biasa untuk penyamaran.

“Ketika pemantauan, kami mendapati seorang pemandu teksi memujuk dan menawarkan perkhidmatan tanpa mengikut giliran.

“Kami memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan ketika ulat teksi itu mahu membawa penumpang ke kenderaannya,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan sebagai ulat teksi di KLIA.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu pernah ditahan pada 2014 atas kesalahan sama,” katanya, semalam.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki berusia 56 tahun turut diberkas ketika cuba membawa penumpang di lokasi sama.

“Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Sepang untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Seksyen 205,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta merujuk ke kaunter teksi disediakan di lapangan terbang untuk mendapatkan perkhidmatan teksi bagi mengelak ditipu.

“Kebiasaannya warga asing menjadi mangsa ulat teksi yang mengenakan tambang tidak munasabah. Banyak laporan diterima SPAD berhubung kesalahan itu,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2016 @ 6:14am
d