mutakhir

16 kontena hangus akibat kerja pelupusan

Alor Gajah: Kegagalan lima pekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika melupuskan sebuah kontena menyebabkan 15 lagi kontena terpakai lain musnah dalam kebakaran di tapak pengumpulan barangan terpakai di Jalan Air Hitam, Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, lima pekerja terbabit membakar sebuah kontena, bagaimanapun mereka mula cemas apabila api merebak ke kontena terletak bersebelahan.

Pengawal keselamatan bertugas di pusat pelupusan itu Mukridin Tasman, 52, berkata, dia bersama lima pekerja terbabit bertungkus- lumus memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api dan semburan air, namun angin kencang menyebabkan api merebak dengan pantas.

“Selepas melihat kebakaran merebak ke kontena bersebelahan dan usaha kami tidak membantu, penyelia bertugas kemudian menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan bomba.

“Kebiasaannya kontena mahu dilupuskan dipotong kepada beberapa bahagian, dikumpul setempat sebelum dibakar, saya pelik kenapa pekerja terbabit terus membakarnya tanpa mengikut SOP,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kejadian menyebabkan 16 kontena musnah 100 peratus, namun kebakaran berjaya dikawal pihak bomba daripada merebak ke 40 lagi kontena dijadualkan dilupus secara berperingkat.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah Pegawai Bomba Kanan II Ismail Iskandar Shah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.04 pagi dan tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Operasi pemadaman turut dibantu anggota bersama jentera dari BBP Ayer Keroh dan Jasin Bestari, kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2016 @ 7:37am
d