mutakhir

Sanggup gadai nyawa

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Puluhan penunggang motosikal sanggup menggadai nyawa saban hari dengan membuat pusingan U ‘maut’ secara haram sebelum menunggang melawan arus di Jalan Genting Klang susur naik ke Lebuhraya Duta-Hulu Kelang (DUKE) menghala Ampang atau Gombak.

Tindakan berbahaya itu menjadi punca kerapnya berlaku kemalangan maut di lokasi berkenaan hampir setiap bulan.

Perbuatan itu menyebabkan pengurusan konsesi DUKE membuat aduan kepada Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) dalam usaha menangani masalah berkenaan.

Susulan itu sepasukan anggota polis JSPTKL diketuai Sarjan Mejar Ruhaizad Latip mengadakan operasi pematuhan lalu lintas ke atas penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di laluan itu.

Ketua JSPTKL Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, siasatan pihaknya mendapati penunggang motosikal gemar membuat pusingan U secara haram sebelum menunggang melawan arus.

“Mereka (penunggang motosikal) mengambil jalan mudah dengan membuat pusingan U bagi mengurangkan waktu perjalanan dari rumah ke tempat kerja.

“Mereka melakukan kesalahan itu dengan sedar meskipun tahu berbahaya menanti. Akibatnya ramai penunggang motosikal yang bertembung dengan kenderaan berat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, hasil tindakan penguatkuasaan semalam, pihaknya mengeluarkan 159 saman ke atas penunggang motosikal yang gagal mematuhi arahan lalu lintas di kawasan itu.

“Secara keseluruhan 288 saman dikeluarkan termasuk kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi yang ditetapkan dan tiada cermin sisi.

“Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesalahan itu tidak berulang,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2016 @ 7:48am
d