mutakhir

Sembilan lelaki Australia dilepaskan tanpa sabitan [METROTV]

Sepang: Mahkamah Sesyen di sini, semalam melepaskan tanpa sabitan terhadap sembilan lelaki warga Australia selepas mereka mengaku bersalah kerana memakai seluar renang bercorak Jalur Gemilang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad lalu.

Bagaimanapun, Hakim Harith Sham Mohamed Yasin memberi amaran kepada semua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa depan selain memahami budaya dan sensitiviti di negara ini.

Menurutnya, beliau mahu insiden itu menjadi peringatan kepada semua tertuduh dan mahu mereka belajar untuk menghormati budaya negara ini.

“Apa saja kelakuan yang diterima di negara anda, tidak semestinya boleh diterima di sini (Malaysia).

“Apa yang anda semua lakukan itu adalah sama sekali tidak sesuai malah, ia boleh menimbulkan sensitiviti kepada rakyat Malaysia. Elemen dalam bendera adalah lambang kedaulatan dan agama rasmi negara ini,” katanya.

Tertuduh termasuk Jack Walker, 26, Timothy Yates, 29, Edward Leaney, 25, Thomas Witworth, 28, Thomas Laslett, 26, Adam Pasfield, 26, James Paver, 27, Brendan Stobs, 26, dan Nicholas Kelly, 27, didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dan denda maksimum sehingga RM400 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Faten Hadni Khairuddin manakala semua tertuduh diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris, Muhammad Shafee memohon kepada hakim untuk melepaskan tanpa sabitan terhadap semua anak guamnya kerana mereka tidak berniat menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan tidak tahu perbuatan berkenaan adalah satu kesalahan.

“Semua anak guam saya kesal dengan insiden yang berlaku dan sudah insaf selepas empat hari berada di dalam lokap polis.

“Malah, mereka juga sudah memberi kerjasama penuh kepada polis bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, keadaan menjadi gempar seketika apabila salah seorang tertuduh, Witworth tiba-tiba pengsan ketika berdiri dalam kandang tertuduh namun, pulih selepas diberikan minuman.

Lebih 60 wartawan dan jurugambar daripada media tempatan dan antarabangsa termasuk dari media tempatan Australia mula berkumpul di mahkamah seawal jam 7.30 pagi bagi mengikuti prosiding kes berkenaan.

Disiarkan pada: October 7, 2016 @ 8:21am
d