mutakhir

Dilarang angkut!

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit dalam aktiviti memindahkan bongkah kayu yang ada sarang kelulut keluar dari hutan.

Mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) Seksyen 84 memiliki, membawa dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pengarahnya Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata, aktiviti rondaan oleh Unit Penguat Kuasa daerah dan negeri secara berjadual dapat membendung kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

Katanya, memindahkan bongkah kayu bersama sarang kelulut sama kesalahannya dengan kegiatan memindahkan pelbagai hasil hutan lain seperti rotan, buluh, kayu, herba dan pokok yang dijadikan hiasan.

Katanya, bagi mereka yang memasuki hutan simpan tanpa permit boleh dikenakan tindakan yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan dalam menyelesaikan masalah berkenaan bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara baik dan berkesan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

“Mereka yang terbabit dengan aktiviti membawa keluar hasil hutan seperti buluh, rotan, kayu dan pokok hiasan perlu membayar cukai ditetapkan sebelum boleh memindahkannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan pihaknya merampas tiga bongkah kayu yang ada sarang kelulut pada operasi penguatkuasaan bersepadu ‘Improving Connectivity In The Central Forest Spine Landscape’ (IC-CFS) Pahang Barat di Raub, minggu lalu.

Mohd Paiz berkata, kegiatan mencari sarang kelulut yang berleluasa di beberapa daerah di negeri ini turut mengundang kemusnahan kepada pokok bersaiz besar pelbagai jenis apabila aktiviti menebang dilakukan pihak terbabit.

Menurutnya, permintaan terhadap sarang kelulut yang meningkat menyebabkan semakin ramai pihak terbabit dengan aktiviti itu dan mereka tidak mengetahui membawa keluar bongkah kayu yang ada sarang kelulut adalah satu kesalahan.

Disiarkan pada: October 8, 2016 @ 5:16am
d