mutakhir

Sudah normal

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jika dahulu setiap kali minum susu, pasti akan terkeluar ekoran masalah bibir sumbing, namun selepas pembedahan, masalah berkenaan sudah tiada.

Muhamad Ziqry Aiman Edey Sherry, 2, yang menjalani pembedahan pembentukan semula bibir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada 30 September lalu kini mampu minum susu seperti kanak-kanak normal seusia dengannya.

Ibunya, Leeyana Hamu, 19, gembira apabila masalah dihadapi anaknya sudah pulih selepas menjalani pembedahan selama tiga jam dan kini menunggu untuk pembedahan lelangit serta rawatan penyakit saraf yang dijangka dilakukan sehingga umurnya 20 tahun.

“Alhamdulillah, bibir anak kami sudah normal dan saya lihat wajahnya kini sempurna seperti orang lain.

“Hanya kesyukuran yang dapat dipanjatkan kepada Ilahi kerana masalah yang dialami anak sejak lahir sudah pulih dengan bantuan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.

Menurutnya, dia dan suami, Edey Sherry Ramli, 24, dan wakil POKB yang tiba dari Kuala Lumpur amat gembira dengan perkembangan terbaru Muhamad Ziqry.

Sementara itu, Ketua Pasukan POKB Datuk Dr Mohd Zain Yusof berkata, pihaknya membiayai pembedahan itu dengan kos RM50,000 sempena Program Ziarah Kasih mereka.

Katanya, pembedahan diketuai Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Konsultan Bedah Mulut dan Rahang Datuk Dr Zainal Arif Abd Rahman di PPUM itu 99 peratus berjaya.

“Keadaan itu memberi harapan baru buat Muhamad Ziqry yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Selepas ini, dia akan menjalani beberapa rawatan susulan serta menjalani pembedahan membentuk lelangit pada April tahun hadapan.

“Kami akan sentiasa memantau keperluannya seperti kos rawatan, susu, lampin dan keperluan harian lain,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Muhamad Ziqry yang sumbing bibir dan menghidap penyakit saraf diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 20 September lalu untuk menjalani pembedahan di PPUM.

Disiarkan pada: October 9, 2016 @ 5:07am
d