mutakhir

Bahaya pewarna sintetik

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Sistem rawatan air di negara ini perlu sentiasa dikaji atau dinaik taraf supaya lebih banyak bahan pencemar berbahaya yang terkandung di dalam air sungai dapat dikenal pasti bagi mengelakkan kesan buruk berterusan kepada manusia.

Pakar Toksikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Mustafa Ali Mohd berkata, ini kerana ada beberapa bahan pencemar itu tidak diberikan perhatian seperti pewarna sintetik, bahan buangan industri pakaian, Polychlorinated Biphenyls (PCB), Persistent Organic Pollutants (POP) dan sisa ubat-ubatan terutamanya antibiotik.

Katanya, bahan berkenaan terdapat di dalam kandungan air dan ditemui di beberapa kawasan menerusi kajian di peringkat universiti.

“Pewarna sintetik adalah daripada industri pakaian manakala POP pula daripada bahan pencemar yang dihasilkan industri pertanian. Sebahagian besar POP ini adalah terdiri daripada racun makhluk perosak dan racun rumpai.

“Selain itu, terdapat juga sebatian chloro dan fluoro (bahan yang mengandungi klorin dan flourin yang amat toksik) yang terhasil daripada hasil kelunturan daripada gajet terutamanya peralatan mainan kanak-kanak, alat elektronik dan telefon yang dibuang bersama sisa buangan domestik,” katanya.

Dr Mustafa berkata, pelbagai antibiotik dipercayai sering digunakan dalam industri penternakan seperti ayam dan khinzir bertujuan melindungi haiwan berkenaan daripada jangkitan kuman dan penyakit serta penggunaan dalam makanannya.

“Bahan terbabit boleh mengubah ketahanan bakteria dan menjadikan bakteria itu lebih tahan dan lebih kebal kepada antibiotik tertentu.

“Manusia juga akan terdedah kepada sisa antibiotik ini dalam jumlah yang amat kecil jika mereka meminum air dari sungai yang tercemar kerana berkemungkinan besar bahan ini tidak ditapis ataupun tidak dapat dihapuskan oleh proses pemprosesan air sedia ada di negara ini.

“Kita juga dilarang membuang lebihan ubat-ubatan dan antibiotik yang tidak dimakan bersama dengan sisa buangan domestik.

“Bahan cemar ini akan larut dan masuk ke dalam sungai dan kemudian memasuki badan manusia apabila mereka meminum air sungai berkenaan yang dijadikan minuman dan hasilnya dipercayai boleh mengganggu sistem endokrin manusia,” katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri mendedahkan enam bahan (parameter) pencemar ditemui terkandung dalam air di 33 sungai tercemar di Malaysia tahun lalu dan paling banyak dikesan ialah Nitrogen Amonia dan tahap Keperluan Oksigen Biokimia (BOD).

Empat bahan lain ialah Keperluan Oksigen Kimia (COD) (pembebasan bahan kimia daripada pelepasan industri pembuatan), oksigen terlarut (gas oksigen terlarut dalam air yang tersedia digunakan oleh organisma akuatik), pH (pelepasan bahan berasid atau beralkali yang tinggi dari industri) dan pepejal terampai (bahan dari tapak pembinaan).

Kata Dr Mustafa lagi, kemungkinan besar apa yang dibuang ke dalam longkang atau singki akan datang semula kepada pengguna suatu hari nanti.

Disiarkan pada: October 10, 2016 @ 9:27am
d