mutakhir

Tiga 'ulat parkir' mengaku salah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: “Perbuatan dilakukan mereka melanggar undang-undang sedangkan mereka tidak mempunyai satu kuasa yang sah untuk menjaga parkir, malah merosakkan kenderaan sekiranya tidak menerima bayaran,” kata Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor Bahru, K Malathi Kanagasabai.

Malathi berkata demikian ketika hujahan pemberatan hukuman terhadap tiga individu yang juga ‘ulat parkir’ selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendesak pemandu meletakkan kenderaan dan mengenakan bayaran tanpa mempunyai satu kuasa sah di tiga lokasi berbeza di bandar raya ini, kelmarin.

Mendengar hujahan itu, Majistret Salina Omar menjatuhkan hukuman denda RM300 bagi setiap tertuduh, M Saravanan, 35, C Krisnan, 49, dan Mohd Zain Abdullah, 37, selepas mengaku salah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Salina dalam keputusannya turut mengenakan penjara sebulan terhadap semua tertuduh sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa mendesak pemandu meletakkan kenderaan dan mengenakan bayaran tanpa mempunyai satu kuasa sah di Jalan Bukit Timbalan, Jalan Terus dan Jalan Ibrahim/Jalan Ismail Sultan antara jam 9.46 malam hingga jam 11.06 malam, kelmarin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketiga-tiga tertuduh hadir bersama pegawai JPJ ke pekarangan mahkamah kira-kira jam 10 pagi sebelum kes mereka didengar di hadapan Salina kira-kira jam 11 pagi.

Pertuduhan kemudian dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan sebelum ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap kertas pertuduhan yang dihadapi mereka dilakukan secara berasingan di tiga lokasi berbeza.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengambil kira tanggungan keluarga, tidak mengetahui perbuatan dilakukan menyalahi undang-undang selain tidak mempunyai pendapatan selepas terbabit kemalangan.

Mendengar rayuan itu, Malathi kemudian meminta mahkamah mengambil kira kesalahan dilakukan semua tertuduh yang dilihat menyalahi undang-undang.

“Perbuatan mereka membawa satu pandangan buruk terhadap pelancong yang datang ke Johor Bahru,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2016 @ 9:41am
d