mutakhir

Penduduk sanggup jadi tali barut

Oleh myMetro

Pasir Mas: “Lebih kurang tiga kali sehari mereka (tonto) lalu kawasan ini yang terdiri dalam kalangan penduduk tempatan juga,” kata Kamal, 50-an.

Dia yang berasal dari Kampung Simpangan, di sini, memaklumkan kegiatan tonto di kawasan itu bukan baru, memandangkan ada yang dilakukan penduduk kampungnya dan dari kampung berhampiran.

Akuinya, ada penduduk yang berani menjadi pelindung kegiatan penyeludupan haram kerana mendakwa mampu memperoleh pendapatan mudah.

“Jumlah ini berubah mengikut masa dan ada satu ketika aktiviti mereka lebih lima kali sehari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, tugas utama tonto adalah mengiringi dan melindungi penyeludup daripada ditangkap pihak berkuasa.

“Aktiviti mereka bergantung kepada kegiatan penyeludupan yang berlaku, contohnya penyeludup menyeludup barang terlarang sebanyak tiga kali sehari maka mereka akan bergerak tiga kali sehari dan sebaliknya.

“Biasanya kenderaan pacuan empat roda digunakan, namun begitu banyak lagi kenderaan yang digunakan oleh tonto termasuklah kereta mewah,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak bergerak secara berkumpulan, namun satu perjalanan dalam melindungi penyeludup biasanya membabitkan beberapa buah kenderaan.

Katanya, jika tempat untuk menghantar barang yang diseludup itu jauh, mereka akan guna dua atau tiga buah kenderaan yang terdiri daripada pelbagai jenis.

“Malah ada juga tonto yang menggunakan motosikal, namun tugas mereka biasanya hanya memantau jalan sama ada boleh di lalui atau tidak.

“Kebanyakan mereka (tonto) terdiri daripada penyeludup itu sendiri yang sama-sama cari makan melalui aktiviti ini,” katanya.

Tinjauan Harian Metro sepanjang jalan Kasban, Pasir Mas-Tumpat, yang dikatakan sentiasa menjadi laluan utama tonto didapati lengang.

Disiarkan pada: October 11, 2016 @ 10:00am
d