mutakhir

Menyusahkan kami!

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: “Sejak bekalan air terputus empat hari lalu, kami sudah membelanjakan RM600 untuk keperluan harian 18 ahli keluarga,” kata Zarina Abdul Hask dari Pandan Perdana yang terputus bekalan air sejak Jumaat lalu.

Suri rumah berusia 31 tahun itu berkata, perbelanjaan sebanyak itu terpaksa dikeluarkan tiga keluarganya yang tinggal di dua rumah bersebelahan Jalan Perdana 6/5 di sini untuk kegunaan makan dan membeli air mineral.

“Bagi keluarga yang besar seperti kami seramai 18 orang termasuk dua bayi, situasi terputus bekalan air amat menyusahkan dan merugikan bukan sahaja masa dan tenaga malah wang ringgit.

“Bila tak boleh masak sebab tiada air, terpaksalah kami beramai-ramai keluar makan di kedai, itu pun ada kedai makan berhampiran tidak jual air bungkus sebaliknya minuman kotak, botol atau tin sahaja sebab mereka pun terputus bekalan air.

“Itu belum dikira lagi air mineral yang terpaksa dibeli berkotak-kotak, baju yang perlu dihantar ke dobi dan kos minyak setiap kali keluar jauh dari rumah ke tempat yang ada bekalan air,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini semalam.

Kelmarin, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, 152 kawasan di Kuala Lumpur, sebahagian daerah Petaling dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Ahad lalu.

Menurut beliau, ia berikutan pencemaran di Sungai Semantan, Pahang yang menyalurkan sumber air mentah ke loji rawatan air Langat dan Cheras dan pihaknya telah mengambil langkah menyediakan bekalan air sementara bagi memastikan pengguna tidak mengalami gangguan berpanjangan sepanjang proses pemulihan.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan keperluan harian ratusan ribu penduduk terutama sekitar Ampang dan Cheras.

Seorang lagi penduduk, Chin Yoke Heong, 59, berkata, walaupun Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS) menyediakan lori tangki air untuk mengagihkan air dari rumah ke rumah, penduduk masih terpaksa mencatu bekalan asas itu.

“Memanglah mereka (SYABAS) ada datang tapi masih tidak cukup tambahan pula bila terpaksa berebut-rebut untuk dapatkan air.

“Saya sangat berharap agar masalah ini tidak berpanjangan kerana ia benar-benar menyusahkan penduduk, terutamanya seperti saya yang tinggal bersama tujuh ahli keluarga termasuk anak-anak dan cucu,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan sekitar Ampang dan Cheras yang dijadualkan mendapat bekalan air semalam, mendapati penduduk terpaksa beratur panjang sambil membawa tong dan bekas untuk mengisi air daripada lori tangki air.

Keadaan itu juga sekali sekala dilihat mencetuskan ‘perang emosi’ apabila ada jiran mempersoalkan jiran lain yang membawa terlalu banyak bekas air untuk mengisi air tanpa memikirkan keperluan orang lain.

Disiarkan pada: October 11, 2016 @ 10:05am
d