mutakhir

Tiga kali diancam

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Suami kepada Pegawai Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), yang meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaikinya dirempuh tonto Jumaat lalu, mendedahkan bahawa dia pernah diancam tonto sebanyak tiga kali sepanjang bertugas di Rantau Panjang selama 20 tahun.

Mohd Baharuddin Hamid, 58, suami Allahyarham Anisah Ali, 54, berkata, tiga tahun lalu, dia juga pernah terbabit dalam kemalangan kecil dengan tonto, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada dia dan pasukannya.

Katanya, dia tidak menyangka tindakan tonto di sempadan negara Malaysia-Thailand terutama di sekitar Rantau Panjang kini semakin serius dan agresif.

“Jika dulu, mereka (tonto) hanya bertindak menghalang kenderaan pasukan keselamatan untuk melambat-lambatkan operasi, tetapi kini mereka semakin berani.

“Pernah juga kediaman kami disimbah asid dan cat oleh tonto beberapa tahun lalu hingga menimbulkan ketakutan, namun ia masih terkawal.

“Tapi kini, saya lihat tonto semakin berani dan kemungkinan mereka mengikuti tindakan tonto di Pantai Barat yang lebih agresif. Selepas ini, kami akan lebih berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri daripada diancam kumpulan itu,” katanya di rumahnya di Kampung Aur Duri, semalam.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat yang turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, Mohd Faudzi berkata, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V turut melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian kemalangan yang menyebabkan seorang Pegawai Kanan wanita JKDM meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki dirempuh tonto.

Katanya, baginda Sultan Kelantan melahirkan rasa dukacita dengan kejadian itu dan berharap nasib mangsa akan terbela.

“Undang-undang negara kita melindungi pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan yang bertugas untuk negara,” katanya.

Mohd Faudzi berkata, beliau percaya semua kakitangan JKDM diberi latihan secukupnya oleh agensi untuk bertugas termasuk operasi membanteras tonto.

Disiarkan pada: October 13, 2016 @ 8:25am
d