mutakhir

Tak jejas tugas

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Walaupun pondok polis di FELDA Medoi di sini, musnah dalam kebakaran 12 September lalu, namun tugas menjaga ketenteraman dan keselamatan 470 keluarga di tanah rancangan itu tetap dilaksanakan.

Kejadian jam 10.30 malam menyebabkan dua kuarters anggota serta bangunan pentadbiran rosak namun punca kebakaran masih disiasat.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, pihaknya tetap melaksanakan rondaan serta tugas rutin di FELDA Medoi demi memelihara kepentingan penduduk.

“Bukan saja kekerapan rondaan ditambah malah kami turut menempatkan balai polis bergerak di beberapa lokasi tumpuan penduduk untuk membuat aduan,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyampaian Sumbangan Derma Kutipan daripada warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di tapak Pondok Polis FELDA Medoi, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah JBS (Bahagian Operasi) Superintendan Rupeah Abd Wahid dan Ketua Bahagian Pengurusan IPD Segamat Asisten Superintendan Rosli Ab Hadi.

Mohd Kamil berkata, pondok polis di FELDA Medoi diwujudkan sejak 1969 bagi menjaga keselamatan penduduk generasi pertama tanah rancangan berkenaan.

Rupeah pula berkata, RM5,000 berjaya dikumpul oleh warga IPD JBS yang dibuat atas inisiatif Ketua Polis Daerah JBS Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Katanya, sumbangan itu diharap sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dua anggota yang bertugas di pondok polis berkenaan yang turut kehilangan harta benda.

Sementara itu, anggota Pondok Polis FELDA Medoi, Koperal Badrul Hisham, 54, berkata, dia menghargai sumbangan diterimanya dan rakan setugas, Koperal Ramzan Jantan, 51.

“Kejadian menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang dan sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2016 @ 9:19am
d