mutakhir

Cedera bergelut cekup PATI

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis cedera di tapak tangan ketika bergelut dengan seorang warga Myanmar yang cuba ditahan pada Ops Nyah di sekitar kawasan kedai makan di Jalan Klang Lama di sini, jam 9 malam kelmarin.

Suspek berusia 30-an ditahan manakala mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, Ops Nyah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu memasuki fasa ke-12.

“Ia dijalankan di sekitar Plaza Low Yat, Medan Selera 118 di Jalan Klang Lama dan sekitar Chow Kit bermula jam 5 petang dan berakhir jam 4.30 pagi.

“Seramai 196 warga asing diperiksa dan 49 daripadanya ditahan membabitkan 43 lelaki serta enam wanita,” katanya.

Individu ditahan terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki dan enam wanita Indonesia, 13 lelaki Myanmar, tiga lelaki Senegal, dua lelaki Pakistan, dua lelaki Nigeria dan masing-masing seorang lelaki warga India, Yaman juga Nepal.

“Ketika serbuan, ada yang cuba melarikan diri malah seorang daripada anggota kami cedera akibat bergelut dengan warga asing terbabit.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Pemerdagangan Orang 2012,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2016 @ 6:07am
d