mutakhir

Rekod tertinggi

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Serdang: “Tidak terlalu bergantung kepada bahan bacaan di Internet, menjaga hubungan baik dengan Allah, ibu bapa dan sesama manusia, mungkin itulah penyebab kejayaan saya,” kata Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof.

Itulah resipi kejayaan dikongsi graduan Ijazah Sains (Kepujian) Major Fizik, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) berusia 22 tahun itu yang bakal merangkul anugerah tertinggi universiti penyelidikan itu, Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-40 UPM yang dijangka berlangsung 22 Oktober ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu diraikan bersama 10 penerima anugerah lain pada sidang media memperkenalkan 11 pemenang hadiah peringkat universiti oleh Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris di UPM, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datuk Shatar Sabran dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin.

Muhammad Khairul Adib yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.995 berkata, tumpuan 100 peratus ketika sesi kuliah selain jadual aktiviti pengajian yang padat membantunya melupakan perkara lain yang kurang penting sebagai pelajar.

“Saya belajar seperti biasa termasuk juga mempunyai rakan-rakan di laman sosial, tetapi untuk mendapatkan bahan bacaan, saya lebih gemar menjadikan buku sebagai rujukan berbanding maklumat di Internet.

“Selebihnya, saya memohon doa restu ibu bapa dan menjaga hubungan baik dengan Allah dan rakan-rakan,” katanya yang sudah mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Manchester Januari depan.

Sementara itu, Dr Aini berkata, UPM bakal mengiktiraf 500 graduan PhD pada majlis konvokesyen 22 Oktober ini sekali gus menjadikan jumlah kelulusan PhD teramai dilahirkan universiti itu berbanding tahun sebelumnya.

Angka 500 daripada keseluruhan 7,200 graduan diiktiraf pada konvokesyen selama tiga hari itu melepasi penilaian prestasi tahunan (KPI) universiti penyelidikan itu untuk melahirkan sekurang-kurangnya 450 graduan PhD pada setiap tahun.

“Jika dilihat, bilangan graduan ini semakin meningkat daripada 452 orang pada tahun 2014 kepada 469 tahun lalu dan melonjak kepada 500 orang pada tahun ini menjadikan ia angka tertinggi direkodkan.

“Diharapkan pencapaian membanggakan ini dapat membantu mencapai hasrat kerajaan yang ingin melihat 60,000 graduan PhD dilahirkan menjelang tahun 2020,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2016 @ 6:12am
d