mutakhir

Kesian si bulu

Oleh Mohamad Yatim Latip

Melaka : Iauan kesakitan kucing jantan yang baru dipelihara satu keluarga di Kampung Paya Dalam di sini, menyelamatkan nyawanya selepas tersepit di celah tali sawat enjin kereta milik tuannya yang menghidupkan enjin bagi menghantar anaknya ke sekolah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, Zamnah Abd Rahman, 50, dikatakan terdengar kucing itu mengiau begitu kuat ketika menghidupkan enjin kereta lalu terus mematikannya.

“Saya yang terkejut dan cemas segera memanggil suami yang masih berada dalam rumah untuk memeriksa enjin sebelum suami membuka bonet.

“Sebaik bonet dibuka, kami terkejut melihat kucing yang baru dibela beberapa minggu lalu tersepit di celah tali sawat enjin dan cuba melepaskan diri.

“Suami menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) memandangkan dia perlu bergegas menghantar anak ke sekolah kerana sudah terlewat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Zamnah, dia tidak menyangka kucing itu bermain dan bersembunyi di ruang enjin, mungkin ia tertidur pada awal pagi atau malam kelmarin.

Ketua operasi APM Mohd Hakiim Mar Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu jam 7.26 pagi sebelum dia bersama dua lagi anggota bergegas ke rumah pengadu sebaik selesai melaksanakan tugasan lain.

“Sebaik tiba, kami dapati kucing itu tersepit di celah tali sawat dan kami terus membuka roda kiri depan dalam usaha menyelamatkannya. Kami mengambil masa hampir sejam melepaskannya dari celah ruang berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2016 @ 6:44am
d