mutakhir

Kasih ibu ke akhir nyawa

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pada usia 85 tahun, seorang ibu yang hilang penglihatan sejak 20 tahun lalu terus tabah menjaga anak bongsu yang juga orang kurang upaya (OKU).

Wan Mek Wan Kadir, 85, berkata, sebelum ini, dia dan arwah suaminya, Wan Ismail Yahya yang menjaga dan menguruskan segala keperluan Wan Zuliha Wan Ismail, 45, namun kini dia terpaksa meminta bantuan daripada cucunya.

Katanya, sebagai ibu, dia reda menjaga anak istimewanya itu bagai menatang minyak penuh.

“Kini, tiga cucu yang berusia antara 17 dan 25 tahun banyak membantu menguruskan Wan Zuliha. Pada masa sama, seorang lagi cucu saya berusia 32 tahun yang tinggal berdekatan juga membantu membeli barang keperluan harian.

“Sejak dilahirkan, Wan Zuliha hanya mampu mengengsot atau dipapah kerana tidak boleh berdiri lama dan mengalami masalah pertuturan.

“Biarpun saya berusia lanjut dan kurang kudrat, saya tetap memikul tanggungjawab menjaganya,” katanya di rumahnya di Kampung Parit, Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Menurutnya, Wan Zuliha juga menerima bantuan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung keperluan mereka berdua.

“Kalau boleh saya tidak mahu bebankan anak cucu kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.

Katanya, dia sentiasa berdoa kepada Allah supayasentiasa sihat dan panjang umur untuk terus menjaga anaknya itu.

“Jika ditakdirkan saya pergi dulu, saya berharap adik beradik Wan Zuliha dapat menjaganya seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, sebelum ini, Wan Mek dua kali membuat permohonan JKM, namun didakwa dia tidak layak menerima bantuan itu.

“Bagaimanapun, saya berharap ibu tunggal ini dikurniakan kesihatan baik untuk terus menjaga anak istimewanya itu,”katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2016 @ 9:45am
d